Assalamualaikum wbh,
Ramai di antara kita mengetahui tentang salasilah
keturunan Rasulullah saw, dan ahli keluarga baginda saw. Kita semua tahu bahawa
ayah baginda saw bernama Abdullah, dan ibu baginda saw bernama Aminah. Kita
juga tahu datuk baginda saw bernama Abdul Muttalib, dan bapa saudara baginda
Abu Talib, dan juga Abu Lahab, atau nama sebenar beliau Umar ibnu Hisyam. Kita
lihat nama beliau di dalam doa baginda saw, “Ya Allah, islamkanlah salah satu
Umar (iaitu samada Umar ibnu Hasyim, aka Abu Lahab, atau Umar ibnu
Al-Khattab)”. Maka Allah swt menjawab doa baginda saw dengan islamnya Umar ibnu
Al-Khattab.
Suka penulis bawakan bahawa Rasulullah saw
merupakan keturunan susur jalur yang terus kepada nabi Allah Ibrahim as. Kerana
itu ada ayat-ayat di dalam Al-Quran, dan juga hadis-hadis baginda saw yang
menyebut Ibrahim as sebagai ayah baginda saw, kerana di dalam bahasa Arab, ayah
juga boleh diertikan sebagai ayah kandung, datuk dan ke atas. Firman Allah swt,
“Jalan (iaitu Islam ini adalah jalan) ayah kamu, Ibrahim. Dialah yang menamakan
kamu Muslimin”. Juga kita lihat di dalam hadis baginda saw sewaktu baginda saw
mendapat seorang anak lelaki bersama hamba baginda saw, Mariam Qibtiyah, “Aku
menamakannya sempena nama ayahku, Ibrahim”.
Bahkan paras rupa Rasulullah saw itu sendiri juga
sangat-sangat mirip kepada Nabi Allah Ibrahim as. Ini dibuktikan di dalam hadis
baginda saw, ketika baginda diangkat Allah swt ke langit ketika Isra’ Mi’raj,
dan baginda saw bertemu dengan Nabi Ibrahim as. Sabda baginda saw di dalam
menceritakan tentang rupa paras Ibrahim as kepada para sahabat, “Andaikata kamu
semua melihatnya (Ibrahim), pasti kamu akan sangka dia adalah rakanmu (iaitu,
pasti kamu menyangka dia adalah aku Muhammad, kerana rupa mereka mirip)”.
Takjub sungguh rasa penulis ketika membaca hadis ini, kerana secara langsung
Allah swt telah mengisyaratkan kita kepada tabiat genetic, ribuan tahun sebelum
kajian tentang genetic keturunan dimulakan!
Adapun Rasulullah saw berasal dari keturunan Nabi
Ibrahim as, dari jalur keturunan Ismail as. Ingatkah bahawa Nabi Ibrahim as
dikurniakan dua orang anak sewaktu usia tua baginda as? Firman Allah swt di
dalam merakamkan doa Nabi Ibrahim as, “Segala puji Allah, yang telah
mengurniakan kepadaku di usia tuaku Ismail dan Ishaq, sungguh Tuhanku
sangat-sangat mendengar permintaa”. Ini merupakan noktah sejarah yang sangat
perlu kita ambil perhatian, kerana orang-orang Kristian tidak mengiktiraf akan
adanya Ismail as, bahkan mereka mendakwa bahawa Ishaqlah yang terlibat di dalam
peristiwa Nabi Ibrahim as diarahkan agar menyembelih anaknya. Ini kerana dari
susur galur Ishaqlah lahirnya yang kita kenali sekarang sebagai Bani Israil,
atau Yahudi, yang mana akhirnya lahirnya Isa as, Tuhan (?) mereka.
Adapun nama Bani Israil itu, bererti ‘anak-anak
Israil’, dan Israil adalah nama lain bagi Nabi Ya’qub as. ‘Isra’ di dalam
bahasa Ibrani (Yahudi) bermaksud hamba, dan ‘il’ bermakna ‘Tuhan’, atau Allah.
Maka Israil itu sendiri bermaksud ‘hamba Allah’, atau di dalam bahasa Arab
selalu kita kenali sebagai ‘Abdullah”. Dari jalur Nabi Ishaq as, lahir Nabi
Ya’qub as, kemudian Yusuf as, dan seterusnya cucu keturunan mereka, Bani Israil
aka Yahudi.
Manakala dari jalur Ismail as, lahirlah keturunan
Arab, yang mana kita masih ingat kisah Nabi Ismail as ditinggalkan oleh Nabi
Ibrahim as bersama ibunya Hajar, di lembah Bakkah, yang kini kita kenali
sebagai Mekah Al-Mukarramah. Mereka kekal menetap di situ sehingga lahir cucu
keturunan mereka, iaitu kaum Arab. Dan seterusnya dari kaum Arab ini, adanya
kaum Quraisy, kemudian adanya Bani Hasyim, dan seterusnya dari situlah lahirnya
kekasih kita Muhammad saw.
Penulis juga ingin menceritakan di sini tentang
kisah bagaimana datuk baginda saw mendapat nama ‘Abdul Muttalib’, dan juga
bagaimana mereka dikenali sebagai Bani Hasyim.
Suatu ketika dahulu, terdapat dua orang
adik-beradik, seorangnya bernama Hasyim, dan seorang lagi bernama Muttalib.
Maka dikatakan Hasyim telah berhijrah ke Yathrib (yang kini kita kenali sebagai
Madinah), dan Muttalib pula kekal di Mekah. Ketika Hasyim di Yathrib mendapat
cahaya mata, dia menamakan cahaya matanya itu Muttalib, sempena nama saudara
kandungnya di Mekah. Setelah kematian Hasyim, rakan-rakannya telah
menghantarkan berita kepada Muttalib di Mekah, menceritakan tentang kematian
saudaranya, dan meminta agar dia datang ke Yathrib untuk mengambil anak
saudaranya ke Mekah. Setibanya di Mekah, orang ramai melihat Muttalib membawa
anak saudaranya, yang juga bernama Muttalib, di belakang kudanya. Di zaman ini,
seorang budak yang dibawa naik bersama menunggang kuda adalah biasanya hamba si
penunggang kuda, maka dari itulah budak tersebut mendapat gelaran ‘Abdul
Muttalib’, iaitu ‘hamba Muttalib’, dan Abdul Muttalib itulah datuk Rasulullah
saw.
Penulis juga ingin menceritakan tentang hikmah dan
faedah kita mengetahui nama ayah dan ibu baginda saw.
Kata Aisyah ra, terdapat empat cara perkahwinan
masyarakat jahiliyyah sebelum datangnya Islam, dan ia adalah:-
i) jika seorang wanita mempunyai kenginan untuk
menjalinkan hubungan, dia akan menggantungkan kain, atau meletakkan tanda pada
pintu rumahnya. Mana-mana lelaki yang juga sedang berkeinginan akan memasuki
rumah tersebut, dan jika mereka bersetuju, hubungan akan terjadi dan jika
terhasil anak dari hubungan tersebut, lelaki tersebut akan bertanggungjawab
menjaga anak tersebut. Lihat bagaimana walaupun mereka masyarakat Jahiliyah,
mereka lebih bertanggungjawab dari jahiliyah moden zaman kita ini, yang sanggup
membuang anak di dalam tong sampah.
ii) ‘perkahwinan’ yang mana seorang wanita
menjalinkan hubungan serentak dengan beberapa orang lelaki, dan jika wanita
tersebut mengandung, dia akan membawakan bayi tersebut kepada mana-mana lelaki
tadi, dan dia akan bertanggungjawab dengan bayi tersebut.
iii) ‘perkahwinan’ di mana jika seorang lelaki yang
mempunyai isteri, dan mahukan anak dari keturunan pahlawan, maka dia akan
menghantarkan isterinya untuk hidup bersama pahlawan tersebut, seperti hidupnya
suami isteri. Apabila isterinya sudah mengandung, maka pahlawan tersebut akan
menghantar pulang isterinya, dan anak tersebut akan dikira sebagai anak lelaki
tersebut.
iv) perkahwinan melalui akad pernikahan yang sah,
yang sebagaimana yang kita ketahui sekarang.
Penting bagi kita mengetahui nama ibubapa baginda
saw, kerana dari nama mereka kita boleh mengetahui manakah cara perkahwinan
mereka, kerana dari cara perkahwinan mereka lahir Rasulullah saw. Penting bagi
kita bahawa Rasulullah saw dilahirkan dari akad nikah yang sah dan murni, dan
baginda saw bukankah anak luar nikah.
Penulis juga ingin ketengahkan di sini tentang
apakah agama Nabi Muhammad saw, serta beberapa orang sahabat baginda saw,
sebelum Allah mengangkat baginda saw menjadi nabi dan rasul akhir zaman. Adakah
baginda menyembah berhala? Adakah baginda pernah menghulurkan korban kepada
sembahan-sembahan kafir Quraisy?
Agama yang diikuti oleh Rasulullah saw sebelum
baginda diangkat menjadi rasul, ialah agama yang kita kenali sebagai
Al-Hunafa’, iaitu mereka menyembah Allah swt, dan mereka solat dan beribadah
kepada Allah swt mengikut cara yang telah diwariskan oleh Ibrahim as. Maka
Muhammad saw, Abu Bakar dan juga Ali ibni Abu Talib ra, kesemuanya adalah dari
golongan ini, maka mereka tidak pernah menyembah berhala atau apa-apa amalan
syirik.
Sesungguhnya Allah swt telah memelihara Rasulullah
saw dari sebarang bentuk syirik dan maksiat, sejak dari sebelum kebangkitan
baginda saw menjadi rasul lagi. Kerana itulah kita katakana bahawa perihal
hidup baginda saw sebelum diangkat menjadi rasul juga termasuk di dalam
definisi sunnah.