Ini adalah suatu
kesulitan yang amat besar.
Cerita salah, tak
cerita rasa bersalah.
Ditelan mati emak,
diluah mati bapa.
Namun seperti biasa,
apabila kita menghadapi kebuntuan di dalam sesuatu hal, kembalilah kita merujuk
Al-Quran dan hadith.
Secara ringkasnya,
seseorang hanya disunatkan mengaku bersalah pada semua jenis kesalahan yang
boleh mengakibatkan hukum dera, seperti berzina dan mencuri.
Islam telah
menganjurkan agar seseorang yang telah melakukan kesalahan tersebut menyimpan
rahsia dan bertaubat nasuha.
[1] Di dalam sebuah
riwayat yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., seorang lelaki dari kalangan
orang Islam datang kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berada di
masjid.
Lelaki itu memanggil
baginda s.a.w,
“Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya aku telah melakukan zina.” Rasulullah s.a.w berpaling darinya dan
menghadapkan wajahnya ke arah lain. Lelaki itu berkata lagi kepada baginda,
“Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya aku telah melakukan zina.”
Sekali lagi
Rasulullah s.a.w berpaling daripadanya.
Perkara itu berlaku
sebanyak empat kali.
Apabila dia mengaku
ke atas dirinya sampai empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w memanggilnya dan
bersabda, “Adakah kamu gila?”
Lelaki itu menjawab,
“Tidak.”
Rasulullah s.a.w
bertanya lagi,
“Apakah kamu sudah
berkahwin atau berumah-tangga?”
Lelaki itu menjawab,
“Ya”.
Maka Rasulullah s.a.w
bersabda kepada para sahabatnya,
“Bawalah dia pergi
dan laksanakanlah hukuman rejam ke atas dirinya.”
[2] Berdasarkan
tingkah laku Rasulullah s.a.w. inilah, para ulama berpendapat bahawa dianjurkan
untuk tidak mengaku berzina di hadapan seorang hakim.
Lalu mengapa pula
perkara itu perlu disebut di hadapan orang lain? Rasulullah s.a.w pernah
menyatakan, “Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali yang menyatakan secara
terang-terangan (telah melakukan dosa). Termasuk terang-terangan ialah
seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, sehingga waktu pagi rahsianya
ditutupi oleh Allah, (tetapi) waktu paginya dia berkata: Hai Si anu, semalam
aku telah melakukan itu dan ini (dosa), sedangkan Allah menutup perbuatannya
(dari pengetahuan manusia) sepanjang malam itu. Sepanjang malam itu Allah
menutup rahsianya (perbuatan dosa), tetapi waktu pagi dia membuka apa yang
telah ditutup oleh Allah.”
[3] Di dalam Tafsir
Al-Azhar, karangan Prof Dr. Hamka, diceritakan pada zaman permerintahan Umar
Al-Khattab r.a. terdapat seorang wanita yang telah berzina dan telah
mencemarkan nama baik diri sendiri dan abangnya.
Beliau merasa kecewa
dengan kehidupan dan bertekad untuk melakukan dosa yang lebih besar lagi, iaitu
membunuh diri.
Wanita tersebut cuba
memotong urat lehernya dengan sebilah pisau. Namun beliau sempat diselamatkan
oleh abangnya, lalu dirawati. Setelah sembuh, beliau dipindahkan ke rumah bapa
saudara mereka di Madinah.
Di sanalah beliau
mula memperbaiki kehidupannya dengan bertaubat dan taat beribadat sehingga
menjadi seorang wanita yang warak. Tidak lama kemudian, beliau telah dipinang.
Bapa saudaranya berasa gelisah lalu berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab
r.a. untuk mengadu.
Mana mungkin seorang
wanita yang pernah terlanjur berkahwin sedangkan perkara itu telah dinyatakan
dengan terang dalam surah An-Nur ayat 3, “Lelaki yang berzina tidak dinikahi
melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan
yang berzina itu tidak dinikahi melainkan dengan lelaki yang berzina atau
lelaki musyrik.
Demikian itu
terlarang kepada orang yang beriman.” Bapa saudara wanita itu juga menyatakan
kepada Umar tiada sesiapa yang mengetahui hal ini, hanya kepada Umar sahaja
perkara ini dirujuk.
Lalu berkata Umar
r.a., “Jangan engkau sekali-kali membuka rahsia ini kepada orang lain.
Tutup mulutmu
rapat-rapat.
Sekiranya engkau
berani menceritakan, nescaya hukuman ke atasmu amat berat.
Sekarang, anak
saudaramu itu wajib dikahwinkan secara layaknya perkahwinan orang-orang
terhormat.”
Penasihat Umar ketika
itu, Ubay Bin Ka’ab r.a. juga berada di sisi dan mengetahui hal berkenaan.
Ubay r.a. juga telah
dipesan supaya merahsiakan hal berkenaan.
Lalu berkata Ubay
r.a., “Keputusanmu amat tepat wahai Amiril Mukminin, sedangkan orang yang
musyrik lagi diterima taubatnya …”
[4] Firman Allah di
dalam Surah Al-Anfal ayat 29, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu
bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu.
Dan Allah
(sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” Di dalam surah As-Syura ayat
25 Allah telah berfirman, “Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari
hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang
mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”
Pada surah An-Nisa
ayat 10 pula, berfirman Allah lagi, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau
menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun
kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Terdapat banyak lagi
ayat-ayat di dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang menunjukkan Allah itu Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang. Ini adalah kerana, menurut sebuah riwayat
daripada Rasulullah s.a.w., “Sekiranya kamu semua tidak ada yang melakukan dosa,
nescaya Allah akan menciptakan suatu makluk yang baru, yang melakukan dosa,
lalu mereka memohon keampunan daripadaNya, kemudian Allah mengampuni mereka.”
[5] Kita harus
bersyukur kerana masih lagi beragama Islam dan mengaku Allah itu satu serta
nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sedangkan di luar sana ramai yang telah jauh
terpesong, ramai yang tergolong dari kalangan anti-hadith atau anti-sunnah,
ramai terjebak dengan ajaran sesat dan yang paling buruk ialah murtad.
Sekiranya seseorang itu ikhlas bertaubat, sudah tentu Allah bersedia memberi
keampunan dan limpah kurniaNya.
Keampunan Allah dan
rahmatNya akan memberi kesan bagaimana manusia sekeliling melayani dan menerima
dirinya.
0 comments:
Catat Ulasan