1,Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin Khadijah binti
Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita
yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW.
Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW.
Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan.
Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga
nyawa ditarik ALLAH SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya,
hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan
dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.
2.Ramai
juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW. Dialah yang
bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa
kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang
sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang
dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan
segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala
dugaan.
3.Ramai
yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia adalah isteri kepada
Firaun yang menentang Musa. ALLAH telah menjadikan bicara lembutnya
menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. ALLAH juga menjadikan dia antara
yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, ALLAH telah merakamkan namanya di
dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya
dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam
mengekalkan deen ISLAM dalam dirinya.
4.Ramai
pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak
Firaun. Beriman kepada ALLAH SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui
oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah
dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung
tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah
mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.
5.Ramai
juga yang telah terlupa kepada Si Suci Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan
itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, ALLAH
memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci
inilah dipilih ALLAH untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS
dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada ALLAH, dan bersangka
baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh
berbicara dan menyeru manusia sedari buaian.
6.Siapakah
yang hendak mencontohi Nusaibah RAH? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar
memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang
mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan
perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah
salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi
Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah
begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, Aku tidak menoleh ke kiri dan ke
kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku. Ketika itu,
anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu
berkata, Bangun wahai anakku. Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera
musuh. Rasulullah yang melihat peristiwa itu bersabda. Wahai Ummu Imarah,
siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan? Ketika tentera
musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, Ini
dia orang yang telah melukakan anakmu. Nusaibah menghampiri orang itu dan
menikam betisnya dengan pedang. Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,
kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah
SAW pun bersorak untuknya.
7.Siapakah
yang mengingati Ummu Imarah ini? Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu
Sulaim? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang
kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim
berkata: Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman. Maka islamlah Abu
Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, Aku belum pernah melihat seorang
wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin
Ummu Sulaim. Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi
seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah
yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari
Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah
suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini? Siapakah pula yang
mengingati isteri kedua Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya dia,
bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW.
Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua
sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun
yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke
khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, Kenapakah berlaku begitu? Ummu
Salamah berkata, Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah
haiwanmu Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.
8.Siapakah
pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA? Ketika peristiwa
Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan
namanya, dia tetap teguh, yakin kepada ALLAH SWT. Tiada sebentar pun dia
bersangka buruk kepada ALLAH SWT bila ditimpa dugaan. Siapakah pula yang
mengingati Asma binti Abu Bakr? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan
tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan
bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang
dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak
mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga
yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang
sahabat Rasulullah SAW yang berani.
9.Siapakah
pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah
empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya
anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang
kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu
jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun
syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, Khansa kesedihan kerana
kehilangan semua anaknya Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? Diamlah
kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar
berjihad di jalan ALLAH Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang
mengingati mereka? Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang
mereka? Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji?
Oh
masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi? Oh perempuan, hari
ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi? Oh lelaki, hari ini perempuan
yang bagaimana kamu gila-gilai untuk jadikan isteri? Siapa? Sesungguhnya
perempuan-perempuan dalam lipatan sirah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya
perempuan-perempuan yang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat
kemuliaan yang tiada tandingan. Dan hari in saya teringatkan
perempuan-perempuan itu.
0 comments:
Catat Ulasan