Sebagai seorang anak perempuan, satu yang saya
risaukan ialah bagaimana ketaatkan saya kepada ibu bapa dan bakal suami kelak.
Mungkin ada yg bertanya kenapa saya perlu risau? Hakikatnya saya tetap mahu
taat kepada ibu bapa walaupun telah berkahwin kelak. So saya telah mencari
hadis serta maklumat lain mengenai hal ini. Seterusnya saya tuliskan semula
untuk panduan diri dan orang lain. [mohon kepada yang arif perbetulkan jika
terdapat kesalahan, mudah-mudahan ia berguna kpd semua wanita yang mahu
berkahwin ataupun telah berkahwin. InshAllah, Ameen]
Ramai yang beranggapan bahawa tanggungjawab
terhadap ibu-bapa hanya tanggungjawab anak lelaki. Sedangkan hal yang
sebenarnya anak perempuan juga mempunyai tanggungjawab terhadap ibu-bapa.
Memang benar kita sebagai perempuan kena taat kepada suami kita selepas kahwin.
Tetapi, perlu diingatkan wahai kaum adam, anda sebagai seorang menantu juga
mempunyai kewajipan terhadap ibu-bapa mentua. Jika anda menyekat isteri-isteri
anda untuk berbakti kepada ibu-bapa mereka, andalah yang akan menanggung
dosa-dosa menderhaka terhadap ibu-bapa, bukan isteri anda. Ini disebabkan
apabila sudah kahwin, kita kena mentaati ibu-bapa mentua kita sebagaimana kita
mentaati ibu-bapa kita sendiri.
Perkahwinan seorang anak perempuan dengan seorang
lelaki tidak memutuskan hubungannya dengan ibu bapa dan tidak pula
menghilangkan tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Perkahwinan adalah penambahan
kepada tanggungjawab yang sedia ada bagi lelaki dan perempuan, dan bukan
pengurangan. Yang kekal ialah prinsip menunaikan tanggungjawab ikut kemampuan
kita. Islam tidak menuntut kita lakukan sesuatu lebih dari kemampuan. Bagi
lelaki yang telah berkahwin, kebajikan ibu bapa mertua juga menjadi
tanggungjawabnya sebab status ibu bapa mertua adalah sama dengan ibu bapa
sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud, “Dan (ingatlah
wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Isra'il
(dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada ibu-bapa, dan kaum kerabat, anak yatim, serta orang miskin dan
katakalah kepada sesama manusia perkataan yang baik...”” (Surah al-Baqarah ayat
83)
Apabila seorang wanita dinikahi maka keutamaan
baginya ialah mentaati suaminya tanpa berbelah bagi selagi mana suaminya tidak
menyuruhnya melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT. Mentaati suami perlu
diutamakan tanpa menafikan kewajipan mentaati kedua-dua ibu bapa. Tidak kira
ibu bapa itu daripada pihak suami mahupun daripada pihak isteri. Berkahwin
bukan sekadar mengikat tali hubungan antara seorang lelaki dan perempuan malah
perkahwinan itu ialah jambatan bagi membina persaudaraan antara keluarga lelaki
dan perempuan.
Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW
memperlihatkan akan kedudukan suami yang sepatutnya dihormati, sekali gus tidak
ingkar kepada perintahnya. Dalam maksudnya yang lain menggambarkan bahawa suami
mesti dimuliakan, dan kemuliaan itu bukan kerana Islam ingin memberi darjat
yang berbeza antara lelaki dan wanita tetapi adalah untuk melihat kepada
pengorbanan dan kesanggupan dia menjadi suami dan menjaga kehormatan isterinya.
Persoalan yang
sering kali menjadi dilema seorang wanita yang bergelar isteri : “Bolehkah seorang isteri menziarahi ibu bapa (atau
keluarganya) tanpa izin suami?” Malah,
ramai yang berfahaman, “Ketaatan seseorang isteri kepada suami lebih dituntut”
berbanding dengan “Ketaatan isteri kepada ibu bapanya”. Sebagai contoh, saya petik kata-kata
ini, “....bila dah berumah tangga, syurga suami masih di bawah tapak kaki ibu
kandungnya ..... dan syurga isteri dah bertukar ke bawah tapak kaki suaminya
..... hatta ada dalam sejarah Islam yg merujuk kepada ketaatan isteri hendaklah
sepenuhnya pada Allah dan suami sehinggakan kalau suami tak benarkan isteri
berjumpa dengan mertua (ibu bapa isteri) sekalipun, isteri hendaklah mentaati
suaminya...”
Bagaimanapun, saya
hanya ingin mengupas persoalan hak isteri dalam menziarahi ibu bapa tanpa izin
suami ini, saya samakan dengan taat suami vs taat ibu bapa, bukan hak suami vs
hak isteri. Saya difahamkan,
seorang isteri tidak boleh keluar menziarahi ibu bapa (walaupun ibu bapanya
sakit atau meninggal dunia) jika tiada keizinan suami. Ini berdasarkan dua
kisah yang berbeza seperti di bawah :
Kisah 1
Dalam sebuah
riwayat diterangkan; sesungguhnya telah terjadi di zaman Rasulullah SAW seorang
suami pergi berperang meninggalkan isterinya. Ketika hendak meninggalkan rumah
dia berpesan kepada isterinya, “Janganlah kamu meninggalkan rumah sehingga aku
pulang dari berperang.” Pada waktu si suami sedang tiada di rumah, ibu si
isteri jatuh sakit.
Maka si isteri
tersebut mengutus seseorang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melihat
ibunya. Jawab Rasulullah, “Tunggulah suamimu pulang, janganlah keluar rumah.”
Akhirnya orang tua si isteri meninggal dunia. Lalu si isteri mengutus lagi
seseorang kepada Rasulullah SAW untuk meminta izin melihat ibunya. Lalu
Rasulullah menjawab, “Tunggulah hingga suami mu pulang.” Setelah itu Rasulullah
SAW mengutus seseorang kepada si isteri tersebut untuk memberikan berita bahawa
Allah SWT telah mengampuni dosa ibunya disebabkan ketaatannya kepada suaminya.
Jadi seorang wanita
yang solehah itu ialah wanita yang telah sanggup meletakkan sesuatu pada tempat
yang benar. Ertinya, jika ia sudah bersuami, maka yang paling berhak terhadap
dirinya adalah suaminya, melebihi diri ibu dan bapa serta keluarganya yang lain.
Kisah 2 – Petikan Suami larang isteri ziarah
keluarga.
Tidak dikira
sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan
dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak
lemah, iaitu hadis berikut;
“Seorang lelaki
yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun
dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat
bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan
kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi
bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; “Taatilah suami kamu.”
Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada
Rasulullah. Nabi SAW bersabda, “Taatilah suami kamu.” Jenazah bapanya dikebumikan.
Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan
bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap
suaminya[5]” [5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.
Saya bukanlah
seorang yang arif tentang hadis, namun saya lihat hadis pertama tiada perawi
mahupun periwayat dan hadis kedua dikatakan sanadnya lemah, juga tiada perawi
dan riwayat daripada siapa. Kisah 1 berkenaan ibu yang sakit dan kisah 2 pula
si ayah yang sakit. Apakah status hadis-hadis ini? Jika sanadnya lemah, adakah
statusnya ‘hadis daif’? Betulkan saya jika tersilap.
Bolehkah kita
beramal dengan hadis daif? Sedangkan, para ulama sendiri berkhilaf pendapat
dalam penggunaan hadis dhaif.
Dari sumber di
atas, ada tiga golongan ulama yang khilaf pendapat iaitu :
________________________________________________________________
Golongan pertama - Hadis dhaif tidak boleh digunakan walaupun untuk tarqib (galakan),
tarhib (menakut-nakutkan), fadhail amal (kelebihan beramal) ataupun untuk
langkah berjaga-jaga.
Ini merupakan pendapat Imam Bukhari dan Muslim, yang disokong oleh Abu
Bakar al-Arabi (Mazhab Maliki), Abu Syamah al-Maqdisi (Syafie), Ibnu Hazmin
(Zahiri) dan lain-lain.
Golongan kedua -
Harus (boleh) menggunakan hadis dhaif jika tidak ada sandaran-sandaran lain
tentang sesuatu perkara sama ada daripada al-Quran, hadis, qias, ijma, istihsan
dan lain-lain. Ini adalah pendapat Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.
Kata Imam Ahmad: “Hadis dhaif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang.”
Golongan ketiga -
Hadis dhaif boleh digunakan sebagai hujah dalam fadhail amal, peringatan,
kisah-kisah, galakan dan sebagainya. Namun begitu secara umumnya tidak boleh
digunakan dalam soal akidah dan hukum-hakam. Ini adalah pendapat yang muktamad
bagi para ulama muhaqqiqin dengan syarat-syarat yang tertentu. Antara tokoh
yang berpegang dengan panangan ini ialah Imam Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar.
Saya lebih cenderung
kepada golongan pertama, kerana saya pernah membaca artikel di utusan, sahih
Imam Bukhari dan Muslim hampir/dekat dengan al-Quran. Jadi, saya guna-pakai
pendapat Imam Bukhari dan Muslim dalam bab hadis dhaif juga.
Sumber 1 – utusan menyebut :
Peruntukan dalam
feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal
al-Syaksiyyah, menegaskan harus
si isteri ziarah ibu bapanya walaupun tidak mendapat izin suami seminggu
sekali, sekiranya kedua ibu bapanya sakit harus baginya menziarahi mereka
setiap hari kalau dia mahu.
Harus juga bagi si isteri menziarahi sanak saudaranya dalam
sebulan sekali, namun ditegaskan oleh para ulama itu sekiranya suasana aman,
sekiranya suasana tidak aman maka tidak harus bagi si isteri keluar tanpa izin
suaminya, yang demikian ialah demi menjaga keselamatannya (hlm:162).
Sumber 2 – kias.edu.my/nushus pula menyebut :
Mengenai keluar rumah kerana menziarahi dua ibu bapa walau
pun tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan nusyuz mengikut setengah
pandangan, malah mereka berpendapat isteri mempunyai hak menziarahi dua ibu
bapa lebih kerap sekiranya dua ibu bapanya sakit dan tidak ada orang lain yang
menjaganya. Ini tanpa mengira sama ada di izin atau
tidak oleh suami kerana manusia dituntut oleh Islam membuat kebaikan sedaya
yang mampu kepada dua ibu bapa ,sama ada sebelum atau selepas kahwin dan sama
ada ibu bapa Islam atau tidak.
Hanafi hanya membolehkan isteri menziarahi dua ibu bapa tanpa
izin sekirnya mereka sakit sahaja. Dengan lain perkataan menziarahi dua ibu
bapa tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan nusyuz sekiranya mereka sakit.
Ada pandangan lain
menyatakan makruh suami tidak mengizinkan isteri menziarahi dua ibu bapanya.
Alasannya membuat kebaikan kepada dua ibu bapa dan menghubung tali silaturahim
adalah kewajipan yang dituntut oleh agama. Menghalang mereka menziarahi dua ibu
bapa menyebabkan berlaku kerenggangan hubungan dan mendorong mereka melakukan perbuatan derhaka. Sedangkan melakukan kebaikan dan menghubung silaturrahim
adalah satu tuntutan Syara'. Firman Allah, (al-Isra’ : 24), maksudnya, “Allah telah memfardukan kepada kamu
supaya kamu jangan mengabdikan diri melainkan terhadapNya dan kepada dua ibu
bapa hendaklah kamu melaku ihsan.”
Persoalan yang banyak berlegar di sekeliling kita :
1.) Apakah
hak seorang suami dalam melarang/menegah isteri daripada menziarahi ibubapanya?
2.
Apakah peruntukan undang-undang Islam Negeri dalam hak isteri menziarahi
ibubapa/keluarga (tanpa izin suami)?
3. Bukan
sedikit isteri dalam dilema terpaksa taat kepada suami sehingga mengabaikan
ibubapa. Benarkah ajaran Islam ada menyatakan ketaatan isteri berpindah kepada
suami bila dia berkahwin?
4. Bukan
sedikit anak perempuan membelakangkan ibu bapa, atas alasan sudah bersuami,
malah ramai yang beranggapan isteri adalah hak mutlak suaminya.
5. Bagaimana pula jika ibu bapa yang hanya mempunyai anak perempuan, adakah
mereka hilang hak diziarahi anak (jika suami tidak membenarkan)?
Akibat dilema
inilah, ada isteri yang menyangka Islam sangat zalim kerana perkahwinan
memisahkannya dengan ibu bapa dan keluarganya. Mereka merasakan Islam tidak
adil dan banyak memihak kepada suami. Akibat dilema ini juga, ada ibu bapa
merasa, rugi sungguh jika mendapat anak perempuan kerana apabila dia bersuami,
dia sudah jadi hak suami dan ibu bapa tak dipedulikan lagi. Adakah ini ajaran
Islam yang sebenarnya?
Mengikut fahaman
saya, taat kepada siapa pun kita harus melihat kepada keadaan/situasi seseorang
isteri. Kalau suami halang isteri daripada menziarahi atau menjaga ibubapa yang
sakit, apakah isteri perlu taat hanya kerana takut masuk neraka kalau tidak
taat?
Ada suami yang beri
kata dua kepada isteri, contohnya “Kalau
kamu balik kampung ibubapa kamu, jatuh talak satu!”,
atau isteri diugut begini, “Sekarang awak sudah menjadi
isteri saya, jadi awak kena taat pada saya. Bukan taat kepada ibubapa awak.
Kalau saya tidak benarkan awak ziarah ibubapa awak, awak tak boleh ziarah.”
Dalam situasi di
atas, apakah pilihan isteri? Sejauh manakah ketaatan kepada suami mengatasi
ketaatan kepada ibu bapa? Apakah jatuh haram isteri (berdosalah) yang langgar
perintah suaminya yang melarang dia menziarahi ibubapa sakit (contohnya)?
Suami patut ada
IHSAN dan EMPATI terhadap isteri, sebab itulah Allah SWT perintah suami agar
bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, seperti dalam firman Allah SWT di
dalam al-Quran, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu
mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka
karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan
kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan
bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai
mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal
Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)
Dalam ayat al-Quran
yang dipetik di atas, Ibn Kathir berpendapat bahawa ayat ini, “… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan
isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud : para suami
hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan
tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut
kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu
isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap
mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466)
Maka jelas lagi
terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Malangnya, berapa
ramai yang ikut perintah Allah yang ini? Akibat mengabaikan perintah Allah yang
ini, natijahnya amat teruk sekali. Bila suami tidak ikut perintah Allah dan
Rasul-Nya, maka, tidak hairanlah isteri tidak taat kepada suami. Ialah, jika
suami ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, secara automatiknya tentu dia juga
menjaga hak-hak isterinya. Bila dia menjaga hak-hak isterinya, agak MUSTAHIL
isterinya tidak taat kepadanya dan agak MUSTAHIL pula isteri tidak hormat
kepada suaminya. Selalunya orang perempuan ini amat tinggi dengan tahap
ketaatan dan kesetiaan mereka. Belas ihsan dan empati mereka lebih tinggi (dibandingkan
lelaki), tetapi jika masih ada isteri yang tidak taat walaupun suaminya
memenuhi tanggungjawab, adalah silap ‘wayarnya’ di mana-mana...
Bagi suami yang
gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah
berdosa. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar setiap suami menggauli isteri dengan
cara yang baik/maaruf. Ini jelas dapat dilihat dalam hadis baginda yang
bermaksud, “Lelaki yang paling sempurna
imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik
akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadis yang
lain pula sabda baginda yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang
paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada
isteriku.” (Hadis
riwayat Ibnu Majah)
Boleh saja ada yang
berkata, “Suami tak patut halang isteri ziarah ibu bapa, akan tetapi jika suami
halang, isteri wajib taat. Ini kerana menjalinkan silaturahim bukan hanya
dengan berziarah, banyak cara lain lagi.”
Ziarah perkataan
Arab bererti berkunjung ke~ atau pergi menengok, ada makna 'perjalanan' di
situ. Ziarah tidak boleh disamakan dengan talipon/email/surat. Zaman Nabi dulu
juga ada cara berhubung juga, saya tak tahu. Mungkin ada yang guna burung
merpati, atau surat juga mungkin sudah ada. Saya kurang arif. Walau bagaimanapun
ziarah adalah sunnah Nabi, tidak kiralah ziarah ibubapa, ahli keluarga, saudara
mara dan saudara semuslim yang lain. Ziarah kubur pula tidaklah boleh disamakan
dengan melihat gambar kubur. Feeling itu berbeza. Tidak sama. Hikmah ziarah memanjangkan silaturrahim, sepertimana dalam sabda Rasulullah SAW yang
maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan
rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Jika ziarah
disamakan dengan talipon/email/surat, konsepnya sama dengan tengok aje laksa
yang lazat dan ambil bau saja, TAK BOLEH makan ya...
Suami hendaklah
berusaha supaya isteri dapat berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri. Isteri
pula hendaklah menjalankan tanggungjawab kepada suami dan rumahtangga dengan
sebaiknya. Suami tidak boleh mementingkan dirinya sendiri sekiranya isteri
telah berusaha sedaya upayanya memenuhi tanggungjawabnya. Adalah tidak wajar
seorang suami menghalang isteri daripada menziarahi ataupun berbakti kepada ibu
bapanya. Dengan kata lain, seorang isteri ada tanggungjawab kepada Allah, diri,
suami, anak dan ibu. Memutuskan hubungan antara anak dan ibu adalah perbuatan
zalim dan berdosa. Islam tidak pernah menyuruh mana-mana orang berbuat perkara
sedemikian.
Ketaatan kepada
suami hanya terdapat melalui hadis, tiada ayat dalam al-Quran yang jelas
memperincikannya. Ketaatan kepada suami juga BUKAN MUTLAK tanpa kompromi.
Sebaliknya, ketaatan kepada ibu bapa banyak disebut dalam al-Quran. Allah SWT
menyuruh kita berulangkali supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.
Arahan cukup jelas selepas mentaati Allah tiada ketaatan yang lebih tinggi
melainkan mentaati kedua-dua orang tua.
Firman Allah SWT
berkenaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada
umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada
mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah
engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan
yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada
keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka,
dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku
semasa kecil.” (Surah
al-Isra', ayat 23-24).
Baginda Rasulullah
SAW telah banyak berpesan agar setiap anak melakukan kebaikan terhadap kedua
ibu bapanya di antara hadis Baginda daripada Anas bin Malik yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila menaiki mimbar berkata: “Amin,
Amin, Amin," lalu ditanyakan kepada Baginda atas perkara apa tuan
ungkapkan amin? Baginda menjawab: Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata:
“Wahai Muhammad kecelakaanlah bagi seseorang itu apabila disebut namamu yang
mendengar tidak berselawat ke atas engkau, katakanlah wahai Muhammad, “Amin” ,
maka aku pun kata “Amin” , kemudian Jibril berkata lagi, kecelakaanlah
seseorang itu yang memasuki bulan Ramadan tetapi pertemuannya tidak mendapat
keampunan, katakanlah “Amin” , aku pun kata “Amin” , kemudian Jibril berkata:
“Kecelakaanlah bagi seseorang itu dia bertemu dengan kedua orang tuanya, tetapi
pertemuannya dengan kedua orang tuanya tidak melayakkan dia memasuki syurga.” (Ibnu Kathir, Tafsir
al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 50 ).
Di samping itu,
banyak lagi hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyuruh kita berbuat baik kepada
kedua ibu bapa. Keingkaran seseorang dalam mentaati ibu bapa boleh membawa kemurkaan Allah
SWT. Tidak kurang banyak riwayat yang
mengisahkan balasan ke atas golongan yang menerima balasan segera dan tunai
daripada Allah SWT.
Ingatlah, dari
Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan
Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Setiap anak yang
derhaka akan dilaknat oleh Allah SWT, amalan dan ibadah mereka tidak diterima
dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang
dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan
keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
Allah SWT berfirman
yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada
kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan
yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah
(bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada
kedua-dua ibu bapa mu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)
Maka turunlah perintah Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah mewasiatkan kepada manusia untuk berlaku baik kepada
kedua-dua ibu bapa. Jika mereka menyuruh kamu mensyirikkan dengan apa yang
engkau tidak ketahui maka janganlah kamu mentaatinya.” (Surah al-‘Ankabut, ayat
8).
Semoga bermanfaat.