Qada dan qadar adalah salah satu dari rukun
iman yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang Islam. Penjelasan
mengenai qada dan qadar ini ada dibicarakan di dalam kitab-kitab aqidah dan
perbincangannya agak panjang dan adakalanya begitu susah untuk difahami oleh
kebanyakkan orang terutamanya bagi sesiapa yang baru menjejakkan kaki dalam
perbincangan ilmu aqidah secara mendalam.
ERTI DAN BAHAGIAN QADA DAN QADAR
Qada bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar bermaksud
sukatan.Terbahagi kepada dua bahagian iaitu: Qada Mubram dan Qada Muallaq.
Qada Mubram: Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan
tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan
berlaku). Firman Allah Taala bermaksud:
Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.
(Surah al-Anaam: ayat 59).
Qada Muallaq: Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku
bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung
kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain). Sabda
Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada
yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa.
(Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).
SEMUA PERKARA DI DALAM PENGETAHUAN ALLAH
TAALA
Kedua-dua jenis qada di atas ini adalah di dalam pengetahuan
Allah Taala. Firman Allah Taala bermaksud:
Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.
(Surah al-Anaam: ayat 59).
Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui
ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya
yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat
kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
ANTARA BENTUK KETAATAN
Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah Taala.
Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat
atau memerlukan kepada Allah Taala. Firman Allah Taala bermaksud:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka
(jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang
berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)
Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam
kebenaran.
(Surah al-Baqarah: ayat 186).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat.
(Riwayat at-Tarmizi).
SENTIASA BERUSAHA DAN BERDOA
Setelah diketahui bahawa segala usaha dan doa dari hamba akan
didengar dan diambil kira oleh Allah Taala maka dengan sebab itulah perlunya
seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdoa. Namun segala usaha dan
doa ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah Taala. Kerana itulah ada
dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah Taala jualah
yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui qada dan qadarnyalah
maka manusia perlu kepada usaha dan doa. Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: ayat 11).
KONSEP QADA DAN QADAR
Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam Islam adalah:
- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di
dunia ini.
- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak
menentukan urusan di dunia ini.
- Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan
Allah Taala.
- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba
adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
PERINGATAN
Peringatan daripada dalil hadis di bawah ini dapat mengingatkan
kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan
perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sebab itulah
kebanyakkan para tok guru kita cuba
mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada dan qadar ini secara panjang
lebar terutamanya kepada masyarakat awam.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila disebut tentang qadar maka diamlah…
(Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).
PENUTUP
Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan
mempercayai dan mengimani qada dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah
Taala semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah Taala
jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu. Saya ingin
sarankan agar kita semua dapat mempelajari ilmu aqidah Ahl al-Sunnah Wa
al-Jamaah dengan lebih mendalam dan terperinci.
0 comments:
Catat Ulasan