Latarbelakang
Wanita
terdiri daripada hampir separuh penduduk Malaysia . Sumbangan mereka sama ada
sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, di dalam pembangunan
bangsa dan negara adalah amat penting. Mereka bukan sahaja memainkan peranan
utama di dalam pembentukan generasi akan datang malah melupakan sumber ekonomi
yang penting.
Buat
masa ini, mereka merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Dari segi
penyertaan buruh, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970
kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990. Di sektor luar bandar dan pertanian,
wanita terus merupakan faktor penting. Gunatenaga wanita juga telah bertambah
dengan banyaknya di dalam sektor pembuatan terutamanya dalam sektor tekstail
dan elektronik. Di sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan masyarakat, sosial,
persendirian serta sektor awam, penyertaan wanita juga kian meningkat. Wanita
juga telah lama memainkan peranan yang aktif di bidang politik negara. Mereka
merupakan kumpulan pengundi yang kuat dan sering memainkan peranan sebagai
penarik pengundi.
Kerajaan
telah lama mengiktiraf sumbangan besar wanita di dalam pembangunan negara. Oleh
itu kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan mereka dalam proses pembangunan
negara dengan membuka peluang-peluang yang lebih luas bagi menceburi bidang
sosial, ekonomi dan politik. Beberapa institusi telah ditubuhkan untuk
mengintegrasikan wanita ke dalam aliran utama pembangunan. Majlis Penasihat
Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) di Jabatan
Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 1976 bagi menterjemahkan pelan
tindakan sedunia mengenai wanita dalam pembangunan negara.
Pada
tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) telah ditubuhkan untuk mengawasi
dan menilai perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan
swasta bagi faedah kaum wanita. Selain daripada bertindak sebagai pusat
maklumat utama mengenai hal ehwal wanita, HAWA juga berfungsi sebagai urusetia
kepada NACIWID.
Sistem
penyampaian pelbagai perkhidmatan sokongan untuk wanita telah diperkukuhkan
lagi melalui aktiviti organisasi-organisasi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan
Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa
Kemajuan Pekebun-pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan beberapa Lembaga
Kemajuan Wilayah. Penubuhan sebuah agensi amanah bukan kerajaan iaitu Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM) turut membantu mempertingkatkan penyertaan kaum wanita
terutamanya di luar bandar di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi bukan ladang.
Pertubuhan-pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) yang lain juga memainkan peranan yang penting ke arah
meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial.
NGO
seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Perkumpulan
Wanita (Wl), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Bantuan
Wanita Islam dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam serta pertubuhan-pertubuhan
wanita yang lain telah menyediakan berbagai program pembangunan berbentuk
jayadiri dan kemudahan-kemudahan sokongan yang lain.
Rasional
Menyedari
pelbagai peranan wanita dalam keluarga, masyarakat, ekonomi dan politik negara,
kerajaan mengakui bahawa strategi-strategi yang khusus perlu dibentuk bagi
melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi
wanita dapat dioptimumkan. Usaha gigih perlu diambil untuk membantu wanita
melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial dan ekonomi yang utama. Ini
memerlukan satu dasar bagi memberi panduan serta arah haluan dalam segala usaha
pembangunan supaya kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai dan
diintegrasikan sumbangan mereka dalam proses pembangunan negara.
Menyedari
hakikat inilah kerajaan telah menggubal Dasar Wanita Negara (DWN) dalam tahun
1989. Penggubalan dasar ini memperjelaskan kesungguhan kerajaan ke arah
membantu penyertaan wanita dalam arus pembangunan negara dengan lebih bermakna.
DWN menyediakan garis panduan bagi mengintegrasikan sumbangan wanita dalam
proses pembangunan negara.
Objektif-objektif
Dasar Wanita Negara ialah:
(i)
untuk menjamin perkongsian yang saksama di antara lelaki dan wanita dalam
pemilikan sumber dan maklumat, di samping mendapatkan peluang dan faedah dari
pembangunan; dan
(ii)
untuk mengintegrasikan kaum wanita ke dalam semua sektor pembangunan negara
selaras dengan kemampuan dan keperluan mereka bagi tujuan meningkatkan mutu
kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf serta
memastikan negara berada dalam keadaan aman dan makmur.
Strategi-strategi
Pelaksanaan
Bagi
membantu pihak perancangan dan pelaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN), beberapa
strategi dibentuk bagi menjamin kecekapan, keberkesanan, keselarasan dan
keseragaman dasar dan tindakan sperti berikut:
(a)
Memperkukuhkan Unit Hal Ehwal Wanita (HAWA) Sebagai Jentera Pembangunan Negara
jentera negara bagi kemajuan wanita ialah HAWA yang kini diletakkan di bawah
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial. Adalah wajar HAWA
dipertingkatkan kuasa dan tarafnya dengan mewujudkan perhubungannya dengan
setiap Kementerian, mengadakan penyelaras di setiap negeri supaya dapat
bertindak dengan lebih berkesan mengenai hal ehwal wanita.
(b)
Mengorientasikan Dasar dan Tindakan Agensi Kerajaan Supaya Memasukkan Proses
Perancangan, Pelaksanaan dan Pengawasaan Program-program Pengintegrasian
Wanita. Dalam penggubalan dasar, perundangan, peraturan dan program oleh apa
juga sektor atau agensi, pertimbangan mestilah dibuat tentang sumbangan dan
implikasinya terhadap wanita; impak dan kesan yang negatif terhadap wanita
hendaklah diawasi. Satu sistem penyelarasan dan kawalan bagi program-program
yang komprehensif hendaklah diwujudkan bagi mengelakkan kesan-kesan negatif dan
juga bagi mengesani rintangan dan masalah, sama ada dari segi undang-undang,
mahupun dari segi amalan, supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi
mengatasinya. Semua program pembangunan mestilah mempunyai strategi yang menguntungkan
wanita; penglibatan wanita di semua peringkat, daripada peringkat awal
perancangan hingga ke peringkat penilaian, di peringkat nasional dan di
peringkat tempatan hendaklah terjamin.
(c)
Pendidikan dan Latihan Untuk Menyedarkan Pihak Pentadbiran Kerajaan Mengenai
Isu Wanita. Bagi membangkitkan kesedaran dan komitmen institusi dan agensi
kerajaan, program latihan kepekaan jantina gender sentisizing dipelbagai
peringkat hendaklah diadakan. Program latihan mengenai wanita dan pembangunan
hendaklah diadakan berterusan untuk kakitangan kerajaan.
(d)
Penglibatan Badan-badan Bukan Kerajaan. Kerajaan hendaklah berusaha melibatkan
semua organisasi bukan kerajaan dan badan-badan sukarela dalam program dan
tindakan pembangunan wanita. Bantuan kewangan, teknikal, nasihat dan institusi
hendaklah diperuntukkan berterusan kepada persatuan-persatuan wanita bagi
menggalakkan dan mempertingkatkan perkhidmatan mereka.
(e)
Membasmi Diskriminasi dan Mengambil Tindakan Tegas Langkah-langkah khusus
hendaklah diambil bagi membasmi diskriminasi terhadap wanita.
Kelemahan-kelemahan undang-undang bagi menjamin hak wanita hendaklah dibaiki.
Tumpuan khas hendaklah dihalakan kepada kawasan-kawasan kurang maju di luar
bandar, wanita yang tidak berdaya dan cacat serta wanita diberi peluang
pendidikan.
(f)
Memajukan dan Menyelaras Penyelidikan Mengenal Isu Wanita Menyedari hakikat
bahawa kurangnya data dan maklumat mengenai kedudukan wanita sebenarnya, maka
kerajaan hendaklah menggalak dan membantu penyelidikan dan kajian mengenai
wanita. Di samping itu kerajaan hendaklah menentukan bahawa segala pengumpulan
data dan maklumat oleh pelbagai sektor dan agensi kerajaan mengasing-asingkan
butiran maklumat mengikut jantina.
(g)
Peruntukan Anggaran Belanjawan Kerajaan hendaklah menentukan bahawa
Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi yang berkenaan menggunakan peruntukan
yang telah diluluskan dengan mengubahsuai tindakan bagi memenuhi program dan
projek pembangunan wanita.
Pelan
Tindakan Mengikut Sektor
(a)
Jentera Nasional Bagi Pengintegrasian Wanita Dalam Pembangunan
(i)
HAWA hendaklah mempunyai hubungan yang berfungsi dengan semua Kementerian lain.
Ia hendaklah bertindak sebagai pusat penyelaras, pengesan, dan pemeroses
isu-isu untuk dikemukakan kepada NACIWID untuk mendapat pandangan, nasihat dan
syor-syor untuk tindakan pihak kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkenaan;
(ii)
Usaha bagi memperkukuhkan HAWA hendaklah termasuk program- program latihan
pegawai dan kakitangan urusetia supaya HAWA akan bertambah cekap dan dinamik;
dan
(iii)
Pengagihan bekalan kewangan sewajar dengan tugas dan fungsi HAWA yang lebih
luas ini hendaklah ditentukan.
(b)
Kesihatan
(i)
Mewujudkan satu dasar kesihatan negara yang mengambil kira keperluan dan taraf
kesihatan kaum wanita. Konsep kesihatan yang komprehensif hendaklah meliputi
aspek kesihatan jasmani, mental dan emosi;
(ii)
Satu mekanisma hendaklah diwujudkan bagi memudahkan penyertaan berbilang sektor
bagi menjamin penyebaran perkhidmatan kesihatan yang sama rata di semua
kawasan, serta menentukan usaha yang cekap dan berkesan sejajar dengan
prioriti-prioriti tempatan;
(iii)
Menggalakkan perkembangan ilmu dan amalan perubatan cara moden dan tradisional;
(iv)
Melaksanakan dasar yang berkesan tentang penagihan dan penggunaan dadah dengan
melibatkan semua pihak dan lapisan;
(v)
Mengadakan undang-undang yang dapat memberi perlindungan kepada pesakit
daripada pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab dalam memberi rawatan dan
ubatan. Mangsa-mangsa rogol dan keganasan hendalah diberi perlindungan daripada
publisiti yang meruntuhkan maruah dan keperibadian mereka; dan
(vi)
Mengkaji undang-undang yang sedia ada, atau menggubal undang undang baru bagi
melindungi wanita akan pekerjaan-pekerjaan yang membahayakan kesihatan.
(c)
Pendidikan dan Latihan
(i)
Menhapuskan gambaran-gambaran yang merendahkan maruah dan
imej
wanita;
(ii)
Memudahkan penyertaan wanita dalam bidang-bidang yang diminati;
(iii)
Meyakinkan wanita untuk mengambil peluang latihan bagi menceburkan diri dalam
lapangan sains dan teknologi moden;
(iv)
Memasukkan pendidikan kekeluargaan dalam semua kursus pendidikan dan latihan
kerjaya untuk lelaki dan wanita;
(v)
Menyemak dasar pengambilan dan pelaksanaan tugas institusi bagi menjamin
diskriminasi terhadap wanita tidak diamalkan;
(vi)
Meluaskan lagi peluang-peluang latihan vokasional untuk wanita serta
mengiktiraf kemahiran-kemahiran wanita dalam bidang latihan dan pekerjaan;
(vii)
Menekankan institusi pendidikan dewasa serta peluang pendidikan sepanjang hidup
agar kaum wanita dapat terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka;
dan
(viii)
Institusi-institusi swasta hendaklah diawasi supaya mereka tidak meneruskan
diskriminasi terhadap wanita ataupun mengekalkan gambaran-gambaran yang
menghinakan penyertaan wanita. Dasar Wanita Negara hendaklah meliputi semua
sektor, baik kerajaan mahupun bukan kerajaan.
(d)
Undang-undang
(i)
Menyemak dan mengemaskini undang-undang yang kurang berkesan;
(ii)
Melibatkan wanita dalam penggubalan pelaksanaan undang- undang;
(iii)
Mengadakan biro pengaduan dan nasihat yang mudah didapati untuk wanita;
(iv)
Memberi pengetahuan mengenai hak individu disisi undang- undang;
(v)
Menggubal undang-undang perlindungan daripada keganasan rumahtangga,
pemberhentian dan eksploitasi dalam pekerjaan dan bagi mangsa rogol dan
keganasan; dan
(vi)
Mewujudkan undang-undang keluarga yang saksama yang memelihara dan
mempertahankan hak ibu kandung dan bagi menyelesaikan pertikaian keluarga
dengan adil dan berperikemanusiaan.
(e)
Pekerajan
(i)
Dipertingkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, sosial, ekonomi dan
politik;
(ii)
Perlu diadakan perkongsian saksama tentang manfaat pembangunan;
(iii)
Perlu diperbanyakkan peluang pekerjaan, khususnya bagi wanita yang miskin dan
tidak mempunyai punca pencarian nafkah hidup;
(iv)
Perlu ada 'job description' bagi semua jenis pekerjaan dan penentuan gaji yang
sewajamya, tanpa perbezaan jantina;
(v)
Perlu diadakan undang-undang perlindungan untuk semua jenis pekerjaan;
(vi)
Perlu diamalkan prinsip gaji sama untuk pekerjaan yang sama; dan
(vii)
Perlu dihapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam peluang- peluang kenaikan
pangkat, latihan lanjutan dan pembuatan keputusan.
(f)
Politik
(i)
Kerajaan hendaklah mengadakan perundangan dan pentadbiran untuk menentukan
penglibatan wanita sepenuhnya dalam bidang politik negara, dan untuk
menambahkan pengambilan, pencalonan dan penempatan wanita pada kedudukan
penentuan dasar di peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan sehingga
perwakilan saksama tercapai; dan
(ii)
Kerajaan hendaklah juga menentukan sokongannya terhadap kemunculan lebih ramai
wanita ke peringkat perundangan dan eksekutif dalam Parlimen, Dewan Undangan
Negeri, Kerajaan Tempatan dan badan-badan lain.
(g)
Media
(i)
Meningkatkan penglibatan wanita dalam semua aspek perkembangan media seperti
dasar perancangan program dan perkhidmatan, penggendalian projek-projek
pembangunan;
(ii)
Menjalankan analisis jantina atas semua program supaya dapat mengesan penyertaan
wanita sebagai penerbit, sebagai pengguna media massa dan penerima kesan media seluruhnya;
(iii)
Mengikis pendapat dan kesan-kesan negatif terhadap wanita dalam program iklan
dan pendapat yang disiarkan; dan
(iv)
Menggunakan pengaruh media bagi memupuk sikap dan nilai positif terhadap wanita
dan sumbangannya.
(h)
Agama
(i)
Mendapatkan pandangan wanita dalam membentuk fatwa yang melibatkan wanita dan
isu wanita;
(ii)
Menggalakkan penyertaan wanita dalam semua aktiviti agama;
(iii)
Mewujudkan perbincangan antara pelbagai agama sebagai usaha mencapai
persefahaman;
(iv)
Menjadikan agama sebagai asas ke arah pemodenan masyarakat berbilang kaum; dan
(v)
Mewujudkan suasana perkongsian hidup yang sihat di kalangan wanita dan lelaki.
(i)
Kebudayaan
(i)
Penyertaan wanita dalam bidang seni perlu mendapat perhatian bagi
mengembangkannya;
(ii)
Kemudahan dan galakan hendaklah diberi kepada wanita untuk menyertai semua
kegiatan budaya dan seni;
(iii)
Diskriminasi dalam bidang seni dan budaya hendaklah dihapuskan;
(iv)
Penyertaan wanita dalam Majlis Perundingan Kebudayaan Kebangsaan hendaklah
dipertingkatkan; dan
(v)
Amalan yang melibatkan wanita secara 'tokenism' atau bagai melepaskan batuk
ditangga diberhentikan.
Penutup
Penggubalan
DWN ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan
wanita di dalam pembangunan secara lebih berkesan, sistematik dan bermakna.
Memandangkan bahawa wanita memainkan peranan yang penting di dalam dan di luar
rumah serta merupakan sumber ekonomi yang penting, matlamat kerajaan adalah
untuk menjadikan wanita sebagai rakan yang sama penting dalam usaha membina
negara.
0 comments:
Catat Ulasan