Buscar

Páginas

Kumpulan Hadis-hadis.

Rasulullah s.a.w bersabda: Jika seseorang berkata kepada saudaranya “Jazaakallah khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka ia telah memujinya dengan setinggi-tingginya. (H.R. Thabrani)
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan: “Jazaakallahu khair” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya. (H.R. Tirmidzi, An-Nasai, Al-Maqdisi, Ibnu Hibban, Al-Bazzar)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah Maha Penyantun, Dia menyukai sifat penyantun (lemah lembut). Allah akan memberikan sesuatu dalam sikap santun yang tidak diberikan pada sikap kasar dan sikap selain itu. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sikap lemah lembut tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, jika lemah lembut itu dicabut dari sesuatu, melainkan ia akan membuatnya menjadi buruk. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bersikaplah pertengahan, bersikaplah pertengahan, nescaya kalian akan sampai (kepada maksud tujuan). (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Wajib bagi kalian berpegang dengan petunjuk yang pertengahan. Kerana siapa yang memberat-beratkan agama ini, nescaya dia akan dikalahkan olehnya. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya agama ini mudah, tidaklah seseorang berlebih-lebihan dalam menjalankan agama kecuali ia akan keberatan sendiri. Tepatilah kebenaran atau apa-apa yang mendekatinya, berilah khabar gembira, dan pergunakanlah waktu pagi, waktu petang dan malam hari untuk memudahkan perjalananmu. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Hati-hatilah kalian dari ghuluw (ekstrim) dalam agama kerana sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah ghuluw dalam agama. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa: “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!”, padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya? (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa diperlakukan dengan baik, kemudian ia berkata kepada orang yang berbuat baik, “Jazakallah khairan (Semoga Allah membalas kebaikan kepadamu)”, maka ia lebih daripada cukup dalam memuji. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Doa seorang hamba Allah tetap dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk suatu perbuatan dosa atau memutuskan silaturahim atau tak terburu-buru segera dikabulkan. Seorang sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah maksud terburu-buru? Rasulullah menjawab: Ia mengatakan, “Aku telah berdoa tapi aku tidak melihat doaku dikabulkan”, sehingga ia mengabaikan dan meninggalkan doanya itu. (H.R. Muslim)
Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya: Telah datang seorang wanita kepada Rasulullah s.a.w lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda). Berkatalah wanita itu: Adakah kamu tidak punya hajat kepadaku? Maka anak perempuan Anas menyampuk: Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya. Maka Anas menjawab: Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi s.a.w lalu menawarkan dirinya kepada baginda s.a.w. (H.R. Bukhari) [Imam Ibnu Hajar menegaskan tiada cacatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki. (Fathul Bari, 9/175)]
Rasulullah s.a.w bersabda: Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana. (H.R. Ibnu Majah)
Dari Aisyah r.ha bahawasanya apabila Rasulullah s.a.w hendak tidur dalam keadaan junub, maka baginda berwudhu’ seperti wudhu’ untuk solat. Dan apabila baginda hendak makan atau minum dalam keadaan junub, maka baginda mencuci kedua tangannya kemudian baginda makan dan minum. (H.R. Abu Daud, an-Nasai’e, Ibnu Majah dan Ahmad)
Dari Ibnu Abbas r.a, Nabi s.a.w diberitahu tentang orang yang menggauli isterinya yang sedang haid. Lalu Nabi s.a.w bersabda: Hendaklah ia bersedekah dengan satu dinar atau setengah dinar. (H.R. Abu Daud, an-Nasai’e, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan (kepada wanita) dengan pandangan lainnya kerana yang pertama untukmu dan yang kedua bukan untukmu. (H.R. Tirmidzi dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w terlihat wanita yang mengagumkan beliau. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adonan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya. (H.R. Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bertelanjang, maka sesungguhnya bersama kalian adalah para malaikat yang tidak pernah berpisah denganmu kecuali ketika di dalam bilik air dan sewaktu lelaki menggauli isterinya. Oleh itu malulah kalian pada mereka (malaikat) dan dan hormatilah mereka. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya seteruk-teruk manusia kedudukannya adalah seorang lelaki yang menyetubuhi isterinya kemudian dia menceritakannya (pada orang lain) pada waktu paginya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah seseorang kamu menjimak isterinya seperti haiwan, hendaklah ada antara antara keduanya utusan. Sahabat bertanya: Apakah utusan itu? Jawab Nabi s.a.w: Ciuman dan ucapan. (H.R. Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah engkau berdoa buruk atas dirimu, jangan berdoa buruk atas anakmu, jangan berdoa buruk atas pembantumu, jangan berdoa buruk atas hartamu, kerana apabila lantunan doamu tepat pada saat yang dikabulkan Allah dan pada saat engkau meminta sesuatu permintaan, Allah akan mengabulkannya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Wanita paling utama di syurga adalah Khadijah binti Khuwalid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiah binti Muzahim isteri Firaun. (H.R. Ahmad dan Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Fatimah adalah pemimpin wanita penghuni syurga. (H.R. al-Hakim)
Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang: Siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda menjawab: Fatimah. (H.R. Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Fajar (Subuh). Andainya mereka tahu apa yang ada dalam kedua-dua solat itu, nescaya mereka menghadirinya sekalipun dengan merangkak. Dan sesungguhnya, aku mahu menyuruh (orang) mengerjakan solat, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami mereka, lalu aku pergi bersama orang-orang dengan membawa kayu kepada orang yang tidak hadir melaksanakan solat. Kemudian aku bakar rumah-rumah mereka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak secara berjemaah, maka ia seperti bangun setengah malam (untuk solat malam) dan sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah, maka ia seperti solat malam seluruhnya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar-kamar atau gedung-gedung yang bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya, dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya, Allah s.w.t telah mempersiapkan buat orang yang gemar memberi makan orang miskin, lembut dalam berbicara, gemar berpuasa, dan mengerjakan solat di malam hari sewaktu manusia sedang tidur. (H.R. Tirmidzi)
Dari Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda: Seseorang itu tidak akan merasai kemanisan iman sehinggalah dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah, sehinggalah dicampak ke dalam api lebih disukainya daripada kembali kufur selepas Allah menyelamatkannya, dan sehinggalah Allah dan RasulNya lebih dia cintai berbanding yang lain dari kedua-duanya. (H.R. Bukhari)
Dari Muawiyah al-Qusyairi, ia berkata: Saya datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: Berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka. (H.R Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah akan membangkitkan di setiap awal seratus tahun seorang yang akan memperbaharui agama umat ini. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda, Allah berfirman: Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka sesiapa yang bersaing denganKu pada salah satu daripada keduanya, maka pasti akan Aku lemparkan ia ke dalam Jahannam. (H.R. Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Ibadah umrah sampai umrah berikutnya sebagai kafarah (penghapus) untuk dosa di antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada balasannya kecuali syurga. (H.R. Muslim)
Dari Abdullah bin Zaid bin `Ashim r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Mekah dan mendoakan penduduknya dan sesungguhnya aku pun mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim telah mengharamkan Mekah. Dan sesungguhnya aku juga berdoa agar setiap sha’ dan mudnya (timbangan/ukuran nilai) diberkahi dua kali lipat dari yang didoakan Ibrahim untuk penduduk Mekah. (H.R. Muslim)
Dari ‘Ashim ia berkata: Aku bertanya kepada Anas bin Malik: Apakah Rasulullah s.a.w telah mengharamkan Madinah? Anas menjawab: Ya, iaitu antara gunung ini sampai gunung ini, maka barangsiapa yang berbuat bida’ah di Madinah, maka ia akan terkutuk oleh laknat Allah, para malaikat serta seluruh manusia dan Allah tidak akan menerima taubat dan tebusan darinya pada hari kiamat. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bergegar Arasy ar-Rahman kerana kematian Sa’ad bin Mu’adz. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a yang menuturkan dari sabda Rasulullah s.a.w: Aku masuk syurga lalu aku terdengar sebuah suara di hadapanku. Ternyata aku sedang berhadapan dengan Al-Ghumaisya’ bintu Milhan. (Ummu Sulaim). (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika tidak mahu menunaikan solat ketika berumur 10 tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur mereka (putera dan puteri). (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika Allah menciptakan makhluk, Ia menulis di buku (catatan) sementara di sisiNya di atas ArasyNya, “RahmatKu mengalahkan murkaKu”. (Muttafaq ‘Alaih)
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Kiamat tidak akan bermula sehingga tanah Arab sekali lagi akan menjadi padang rumput dan sungai. (H.R. Muslim)
Dari Ali r.a bahawasanya ketika aku akan menikahi Fatimah, aku berkata: Wahai Rasulullah, nikahkan aku dengan Fatimah. Sabda baginda: Berikan padanya sesuatu sebagai mas kahwin. Jawabku: Aku tidak mempunyai apa-apa. Tanya baginda: Di mana baju besimu dari Huthamiyah itu? Jawabku: Ada di rumah. Sabda baginda: Berikan baju besi itu padanya sebagai mas kahwin. (H.R. Nasai’e)
Rasulullah s.a.w bersabda: Jika berdiri salah seorang daripada kamu dari tempat duduknya lalu kembali lagi maka dia lebih berhak (daripada yang lain) untuk duduk di situ. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah seseorang duduk mengusir orang lain dari tempat duduknya, kemudian ia duduk di tempat tersebut, namun berilah kelonggaran dan keluasan. (Muttafaq ‘Alaih)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ucapan yang paling disukai Allah itu ada empat, engkau boleh memulainya dengan kalimat mana saja, iaitu Subhanallah (Maha suci Allah), Alhamdulillah (segala puji milik Allah), Laa ilaha illallah (tidak ada Tuhan selain Allah), dan Allahuakbar (Allah Maha besar). (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda, Allah berfirman: Aku selalu bersama hambaKu selama ia mengingatiKu dan kedua bibirnya bergerak menyebutKu. (H.R. Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa mendengarkan pembicaraan suatu kaum, padahal mereka tidak suka hal itu didengar, pada hari kiamat kedua telinganya akan dituangi dengan timah. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan orang yang mengambil balik sedekahnya itu seperti seekor anjing yang muntah kemudian ia kembali kepada muntahannya lalu memakannya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Telah ditulis oleh Allah takdir seluruh makhluk 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah telah menetapkan 5 perkara bagi setiap hambaNya yakni ajalnya, rezekinya, umurnya, untung nasib buruk dan untung nasib baiknya. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Belum dikatakan beriman seseorang itu sehingga dia beriman kepada takdir (ketentuan Allah), baik mahupun buruk. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda dengan membawakan firman Allah dalam hadith Qudsi: Pandangan mata adalah panah beracun dari antara panah-panah Iblis. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepadaKu maka Aku ganti dengan keimanan yang dirasakan manis dalam hatinya. (H.R. Al Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Madinah adalah tanah haram, letaknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur, sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah s.w.t, malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah s.w.t daripadanya pada hari kiamat kelak. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Abbas r.a berkata, Nabi s.a.w bersabda: Jangan menyendiri seorang lelaki dengan perempuan melainkan harus ada mahram yang menyertainya. Dan jangan berpergian seorang perempuan melainkan bersama mahramnya. Maka ada seseorang bertanya: Ya Rasulullah, isteriku pergi berhaji sedangkan aku telah tercatat untuk pergi berperang. Maka Nabi s.a.w bersabda: Pergilah engkau berhaji bersama istrimu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.a, Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w supaya perempuan itu dibebaskan saja? Kata mereka: Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w! Usamah lalu menyampaikannya kepada baginda. Rasulullah s.a.w. bersabda: Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah? Kemudian baginda berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya! (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a berkata: Kekasihku Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepadaku supaya berpuasa tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bagaimanakah pendapatmu seumpama ada sebuah sungai di muka pintu salah seorang dari kamu, lalu ia mandi daripadanya setiap hari lima kali, apakah masih ada tertinggal kotorannya? Para sahabat menjawab: Tidak. Nabi s.a.w bersabda: Maka demikianlah solat lima waktu, Allah akan menghapuskan dosa-dosa dengannya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Mas’ud (Uqbah) bin ‘Amr al-Badri r.a berkata: Seseorang datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Saya terpaksa berhenti dari solat jemaah Subuh kerana Fulan (Imam) memanjangkan bacaannya. Berkata Uqbah: Maka saya tidak pernah melihat Nabi s.a.w marah dalam suatu nasihat sebagaimana waktu itu. Nabi s.a.w bersabda: Hai sekalian manusia, seseungguhnya di antaramu ada orang-orang yang membenci orang lain. Maka barangsiapa di antaramu mengimami orang ramai, hendaklah ia meringkas (bacaan surahnya) kerana di belakangnya ada orang yang sudah lanjut usia, orang yang lemah dan orang yang mempunyai kepentingan (urusan). (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Sungguh, sekiranya salah seorang dari kamu itu pergi mencari kayu dan dipikul di atas bahunya, lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi atau ditolak. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Sa’id Al-Khudri berkata: Ada dua orang lelaki dalam perjalanan, lalu datang waktu solat sedangkan air tidak ada, lantas keduanya bertayammum dengan debu yang suci dan solat, kemudian keduanya memperoleh air dan waktu solat masih ada. Seorang diantara keduanya lantas berwudhu’ dan mengulang solatnya dan yang lain tidak. Kemudian keduanya datang kepada Rasulullah s.a.w dan diterangkannyalah kejadian itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda lalu berkata kepada orang yang tidak mengulang solat: Benar engkau dan solatmu sah, dan kepada orang yang mengulang solat dengan berwudhu’ baginda berkata: Bagimu ganjarannya dua kali ganda. (H.R. An-Nasa’i dan Abu Daud)
Dari Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seseorang masuk syurga ingin kembali ke dunia dan dia tidak mempunyai sesuatu pun di dunia kecuali orang yang syahid. Ia mengharap dapat kembali ke dunia untuk berperang dan terbunuh sampai sepuluh kali kerana kemuliaan yang ia peroleh. (H.R. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Daripada Ibnu Abbas, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi: Wahai Rasulullah, aku ada memelihara seorang anak yatim perempuan. Dia dilamar oleh orang kaya dan orang miskin. Kami suka kalau dia memilih yang kaya, tetapi dia cinta kepada yang miskin. Maka berkata Rasulullah s.a.w: Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling menyintai itu kecuali kahwin. (H.R. Ibnu Majah, Thabrani, Al-Hakim; sahih mengikut syarat Imam Muslim dan Imam Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki pernah mengunjungi saudaranya di sebuah kampung. Maka Allah mengutus malaikat untuk memantaunya. Ketika ia tiba, malaikat bertanya: Mahu ke mana kamu? Ia menjawab: Aku akan mengunjungi saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Apakah kerana ada kenikmatan yang akan kamu peroleh darinya (hasil bumi)? Ia menjawab: Tidak, aku hanya mencintainya kerana Allah. Lalu malaikat berkata: Aku adalah utusan Allah untuk menyatakan kepadamu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu telah mencintai saudaramu kerana Dia. (H.R. Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya seorang mukmin mengetahui siksaan Allah, nescaya tidak seorang pun yang tamak terhadap syurgaNya. Dan seandainya seorang kafir mengetahui rahmat Allah, nescaya ia tidak putus asa dari syurgaNya. (H.R. Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika Allah menciptakan makhluk, Ia menulis di buku (catatan) sementara di sisiNya di atas ArasyNya, “RahmatKu mengalahkan murkaKu”. (Muttafaq ‘Alaih)
Dari Anas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Pada hari kiamat aku datang mengetuk pintu syurga. Kemudian penjaganya (malaikat) bertanya: Siapakah engkau? Muhammad jawabku. Lalu malaikat itu berkata: Aku dilarang oleh Allah untuk membuka pintu syurga ini kepada sesiapa pun sebelum engkau. (H.R. Muslim)
Dari Abi Abbas Sahl bin Sa’ad As-Sa’idi r.a berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkilah aku pada suatu amal yang jika aku kerjakan, aku dicintai Allah dan dicintai manusia. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Zuhudlah engkau akan dunia, pasti Allah mencintai engkau. Zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, pasti manusia mencintai engkau. (H.R. Ibnu Majah)
Dari Abi Abdirrahman Abdillah bin Mas’ud r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w dan dialah yang selalu benar dan dibenarkan: Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam rahim ibunya empat puluh hari berupa nutfah. Kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga (empat puluh hari), kemudian menjadi gumpalan seperti sekerat daging selama itu juga, kemudian diutus kepadanya Malaikat maka ia meniupkan roh padanya dan ditetapkan empat perkara, ditentukan rezekinya, ajalnya, amalnya, ia celaka atau bahagia. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain dari padaNya, sungguh seorang di antara kamu ada yang melakukan pekerjaan ahli syurga sehingga tidak ada antara dia dan syurga itu kecuali sehasta saja maka dahululah atasnya takdir Allah, lalu ia lakukan pekerjaan ahli neraka maka ia pun masuk neraka. Dan sungguh salah seorang di antara kamu melakukan pekerjaan ahli neraka sehingga tidak ada antara dia dan neraka kecuali sehasta saja maka dahululah ketentuan Allah atasnya, lalu ia melakukan pekerjaan ahli syurga maka ia pun masuk ke dalam syurga. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang buruk bagaikan pembawa misk (kasturi) dan peniup api. Maka pembawa misk itu ada kalanya memberi kepadamu atau engkau memberi kepadanya atau engkau mendapat bau harum daripadanya. Adapun peniup api maka kalau tidak membakar pakaianmu maka kau akan mendapatkan bau busuk daripadanya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang-terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat. (H.R. Muslim)
Dari Ali r.a, katanya: Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Setibanya di suatu tempat, komandan tersebut menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam unggun api tersebut. Sebahagian anak buahnya telah bersedia untuk melompat ke dalam unggun api tersebut tetapi yang lain berkata: Kita harus lari dari api itu. Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti. Kemudian baginda bersabda pula kepada yang lain dengan lemah lembut: Tidak wajib taat kepada perintah untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan. (H.R. Muslim)
Dari Mu’adz r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w mengutus saya sebagai gabenor di negeri Yaman maka Rasulullah s.a.w berpesan kepadaku: Engkau akan menghadapi kaum ahli kitab maka ajaklah mereka kembali kepada kalimat syahadat bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah dan aku adalah Rasulullah. Jika mereka telah menurut kepada ajakan itu, beritahukanlah bahawa Allah telah mewajibkan atas mereka mengerjakan solat lima kali sehari semalam dalam lima waktu. Jika mereka telah taat, beritahukanlah bahawa Allah mewajibkan mereka mengeluarkan zakat (sedekah) yang diambil dari orang-orang kaya dan diberikan kepada fakir miskin. Jika mereka telah mentaati itu maka berhati-hatilah kamu dari kekayaan mereka terutama yang benar-benar mereka sayangi dan takutlah kamu dari doa orang yang teraniaya kerana tidak ada dinding antara doa itu dengan Allah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang perempuan disiksa kerana kucing yang dikurungnya hingga mati, maka ia dimasukkan ke dalam neraka disebabkan ia tidak memberi makan dan minum ketika mengurungnya dan tidak pula melepaskannya agar memakan binatang-binatang melata di bumi. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Tinggalkan tujuh dosa yang akan membinasakan. Sahabat bertanya: Apakah itu, ya Rasulullah? Nabi s.a.w menjawab: Menyekutukan Allah, sihir (menilik nasib), membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri pada waktu perang, menuduh wanita mukminat yang sopan dengan tuduhan berzina. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Jundub bin Abdullah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa memperdengarkan amalnya kepada orang lain maka Allah akan mempermalukannya di hari kiamat dan barangsiapa yang memperlihatkan amalnya kepada orang lain maka Allah akan membalas riya’nya itu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berbuat kebaikan kepada janda dan orang miskin adalah bagaikan orang yang berjihad fi sabilillah bahkan seperti orang yang tidak pernah berhenti puasa dan bangun solat malam. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa r.a berkata: Rasulullah saw bersabda: Perumpamaan tuntunan hidayah dan ilmu yang diutuskan Allah kepadaku adalah bagaikan hujan yang turun ke bumi. Ada tanah yang subur menerima air dan menumbuhkan tanaman dan rumput yang banyak dan ada yang keras tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Demikianlah contoh orang yang mengerti agama Allah lalu belajar dan mengajar dan orang yang tidak dapat menerima sama sekali petunjuk ajaran Allah yang diutuskan kepadamu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.a. berkata: Ketika Nabi s.a.w masuk ke rumah kami bertepatan dengan adanya seorang wanita maka Nabi s.a.w bertanya: Siapakah wanita itu? Jawab Aisyah: Ini Fulanah yang terkenal ibadah solatnya banyak sekali. Maka Nabi s.a.w bersabda: Ah (kata yang menyatakan kurang senang), hendaklah ia mengerjakan menurut kadar kemampuannya dengan tidak memaksakan diri maka Allah tidak akan jemu (bosan) menerima amalmu sehingga kamu sendiri yang jemu beramal dan perilaku agama yang disukai Allah ialah yang dikerjakan terus-menerus (istiqamah). (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang kamu bersin, hendaknya ia mengucapkan: الْحَمْدُ لِلَّهِ Alhamdulillah. Dan hendaknya saudaranya atau sahabatnya mengucapkan kepadanya: يَرْحَمُك اللَّهُ Yarhamukallah. Maka apabila ia mengucapkan yarhamukallah kepadanya, hendaknya ia mengucapkan: يَهْدِيكُمْ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ Yahdikumullah wa Yuslihu Baalakum. (H.R. Bukhari)
Dari Sulaiman bin Shurad r.a. berkata: Ketika saya duduk bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba ada dua orang saling memaki, sedang salah satu telah merah wajahnya dan tegang pula urat lehernya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Saya mengetahui suatu kalimat yang apabila kalimat itu dibaca, pasti hilang apa yang dirasakannya iaitu ‘A’udzubillahi minasysyaithoonir rajiim’. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anggota badan manusia wajib atasnya sedekah, setiap hari bila terbit matahari engkau damaikan antara dua orang yang berselisih, itu adalah sedekah dan menolong orang berkenaan dengan kenderaannya, engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya, itu adalah sedekah dan setiap langkah untuk solat adalah sedekah. Dan menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan adalah sedekah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Hak kewajiban seorang muslim atas muslim lainnya ada lima. Pertama menjawab salam. Kedua menjenguk yang sakit. Ketiga mengantar jenazah. Keempat memenuhi undangan. Kelima mendo’akan orang yang bersin. (Muttafaq ‘Alaih)
Dari Abdullah bin Abbas dan Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Andaikan seorang anak Adam (manusia) mempunyai satu lembah dari emas pasti ia ingin mempunyai dua lembah dan tidak ada yang dapat menutup mulutnya (menghentikan kerakusannya kepada dunia) kecuali tanah (maut). Dan Allah berkenan memberi taubat kepada siapa yang bertaubat. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di akhirat kelak. (H.R. Abu Daud dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang Nabi pun antara aku dan Isa dan sesungguhnya ia benar-benar akan turun (dari langit), apabila kamu telah melihatnya, maka ketahuilah; bahawa ia adalah seorang lelaki berperawakan tubuh sedang, berkulit putih kemerah-merahan. Ia akan turun dengan memakai dua lapis pakaian yang dicelup dengan warna merah, kepalanya seakan-akan menitiskan air walaupun ia tidak basah. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sekelompok dari umatku akan tetap berperang dalam dalam kebenaran secara terang-terangan sampai hari kiamat, sehingga turunlah Isa Ibnu Maryam, maka berkatalah pemimpin mereka (Al-Mahdi): Kemarilah dan imamilah solat kami. Ia menjawab: Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu adalah sebagai pemimpin terhadap sebahagian yang lain, sebagai suatu kemuliaan yang diberikan Allah kepada umat ini (umat Muhammad). (H.R. Muslim dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiba-tiba Isa sudah berada di antara mereka dan berkumandangkanlah solat, maka dikatakan kepadanya, majulah kamu (menjadi imam solat) wahai roh Allah. Ia menjawab: Hendaklah yang maju itu pemimpin kamu dan hendaklah dia yang mengimami solat kamu. (H.R. Muslim dan Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Demi yang diriku berada ditanganNya, sesungguhnya Ibnu Maryam (Nabi Isa a.s) hampir akan turun di tengah-tengah kamu sebagai pemimpin yang adil, maka ia akan menghancurkan salib, membunuh babi, menolak juzyah (pajak yang diambil dari orang kafir yang berada di dalam perlindungan pemerintahan Muslim), melimpahkan harta sehingga tidak seorang pun yang mahu menerima pemberian (sedekah) dan sehingga satu kali sujud lebih baik dari dunia dan segala isinya. (H.R. Bukhari, Muslim, Ahmad, Nasai’e dan Ibnu Majah)
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Ketika kami sedang duduk di samping Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datang seorang lelaki lalu datang kepada baginda dan berkata: Ya Rasulullah! celaka aku. Jawab Nabi s.a.w: Kenapa engkau? Jawab orang itu: Aku bersetubuh dengan isteriku, padahal aku berpuasa. Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah engkau memiliki hamba sahaya yang engkau boleh memerdekakan? Jawabnya: Tidak. Sabda Nabi s.a.w: Sanggupkah engkau berpuasa 2 bulan berturut-turut. Jawab lelaki itu: Tidak. Tanya Nabi s.a.w: Sanggupkah engkau memberi makan 60 orang miskin? Jawabnya: Tidak. Nabi s.a.w diam, sementara itu dibawakan orang kepada Nabi sebakul kurma. Lalu beginda bertanya: Di manakah orang tadi? Jawab orang itu: Saya ya Rasulullah. Sabda Nabi s.a.w: Ambillah kurma ini dan bersedekahlah dengannya. Kata orang itu: Apakah saya harus bersedekah kepada orang yang fakir seperti saya, ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang berada di antara dua perbatasan yang berbatu-batu (dari kota Madinah) yang lebih fakir dari keluarga saya. Mendengar itu Nabi s.a.w tertawa hingga nampak taring beliau. Kemudian baginda bersabda: Berilah makan untuk keluargamu. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tatkala Allah menciptakan Adam a.s, Dia berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada para Malaikat yang sedang duduk, lalu perhatikanlah apa yang mereka akan jawab, sesungguhnya jawaban (para malaikat itu) adalah salam (penghormatan)mu dan anak keturunanmu. Maka Adam a.s berkata: Assalamu’alaikum, lalu mereka (para malaikat) menjawab: Assalamu’alaika wa Rahmatullah. Mereka menambahkan: Warahmatullah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Abbas, ia berkata: Ketika Rasulullah sedang bersama Malaikat Jibril, tiba-tiba terdengar suara dari atas. Maka Jibril mengarahkan pandangannya ke langit seraya berkata: Itu adalah dibukanya sebuah pintu di langit yang belum pernah terbuka sebelumnya. Ibnu Abbas melanjutkan: Dari pintu itu turun malaikat dan menemui Nabi seraya berkata: Sampaikan berita gembira kepada umatmu mengenai dua cahaya. Kedua cahaya itu telah diberikan kepadamu, dan belum pernah sama sekali diberikan kepada seorang nabi pun sebelum dirimu, iaitu Fathihul kitab dan beberapa ayat terakhir dari surah Al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf darinya melainkan akan diberikan pahala kepadamu. (H.R. An-Nasai’e dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seorang hamba mencapai darjah Mutaqqin (orang yang bertakwa) hingga dia meninggalkan apa yang boleh dilakukannya kerana khuatir akan menjerumuskan kepada apa yang tidak boleh dikerjakan (iaitu perkara yang diharamkan). (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w pernah keluar menemui satu halaqah dari para sahabat baginda. Kemudian baginda bertanya: Apa yang menyebabkan engkau duduk? Mereka menjawab: Kami duduk berzikir kepada Allah. Baginda bertanya lagi: Demi Allah, tidak ada yang menyebabkan engkau duduk kecuali hanya itu? Mereka menjawab: Demi Allah, tidak ada yang menyebabkan kami duduk kecuali hanya itu. Baginda bersabda: Sesungguhnya, aku tidaklah meminta engkau bersumpah kerana sangkaan (yakni cuba berbohong) kepadamu. Akan tetapi Jibril telah mendatangiku lalu memberitahukan kepadaku, bahawa Allah s.w.t membanggakanmu kepada para malaikat. (H.R. Muslim)
Dari Anas bin Malik, ia berkata: Saat aku duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba ada seorang lelaki dari kaum Ansar yang datang dan bertanya: Wahai, Rasulullah! Apakah masih ada (perkara) yang tersisa yang menjadi tanggungjawabku berkaitan dengan bakti kepada orang tuaku setelah mereka berdua meninggal yang masih boleh aku lakukan? Nabi menjawab: Betul, (iaitu) ada empat hal: Engkau doakan dan minta keampunan bagi mereka, melaksanakan janji mereka, serta memuliakan sahabat-sahabat mereka, juga menyambung tali silaturahim dengan orang yang ada hubungannya dengan ayah ibu. Inilah (kewajiban) yang masih tersisa dalam berbakti kepada orang tuamu setelah mereka meninggal. (H.R. Abu Daud dan Ahmad)
Dari Abu Hurairah, dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya seorang mukmin jika dia mengerjakan satu perbuatan dosa, maka akan timbul noda hitam dalam hatinya. Jika dia bertaubat, menarik diri dari dosa itu dan mencari redha Allah, maka hatinya menjadi jernih. Jika dosanya bertambah maka bertambah pula noda itu sehingga memenuhi hatinya. Itulah Ar-ran (penutup), yang disebut oleh Allah Taala dalam firmannya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (H.R. Tirmidzi, An-Nasai’e dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang hamba berzina, keluarlah iman darinya, lalu iman itu berada di atas kepalanya seperti naungan, maka apabila dia telah bertaubat, iman itu kembali kepadanya. (H.R. Abu Daud)
Dari Abdullah bin Qais, Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Wahai Abdullah bin Qais (Abu Musa)! Aku berkata: Aku sambut panggilanmu, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Mahukah aku tunjukkan kepadamu terhadap satu kalimat, yang merupakan simpanan di antara simpanan-simpanan syurga? Aku menjawab: Tentu, wahai Rasulullah. Bapaku dan ibuku sebagai tebusanmu. Baginda bersabda: “Laa haula wa laa quwwata illa billah”. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda, Allah s.w.t berfirman: Barangsiapa yang tidak redha terhadap ketentuanKu, dan tidak sabar atas musibah dariKu, maka carilah Tuhan selain Aku. (Hadith Qudsi Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.ha, dia berkata, Rasulullah s.a.w mengutus seorang lelaki sebagai ketuan (komandan) pasuka ekspedisi. Dalam solat dia bertindak sebagai imam bagi sahabat lainnya, namun dia selalu membaca dalam solatnya surah “Qul huwallahu Ahad”, surah Al-Ikhlas. Ketika pasukan pulang, hal itu diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Tanyakan saja langsung kepadanya mengepa dia selalu membaca surah itu? Mereka lalu menanyakannya. Dia menjawab: Kerana sesungguhnya surah itu adalah sifat Allah Yang Maha Pemurah dan aku senang membacanya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Khabarkan kepadanya bahawa Allah mencintainya. (H.R. Muslim:1437)
Rasulullah s.a.w bersabda: Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah s.a.w sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat sunat 2 rakaat. Maka kami pun turut solat bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian, Rasulullah s.a.w berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah s.w.t. Setelah selesai baginda berdoa, maka Rasulullah s.a.w pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud: Aku telah bermohon kepada Allah 3 perkara, dalam 3 perkara itu, Dia cuma perkenankan 2 sahaja manakala yang 1 lagi ditolak. Aku telah bermohon kepada Allah supaya tidak dibinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah. Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah. Aku telah bermohon kepada Allah supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi, permohonanku ini telah ditolak. (H.R. Muslim)
Dari Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya syaitan akan datang kepada seseorang diantara kamu lalu ia berkata: Siapa yang menciptakan kamu? Lalu dia menjawab: Allah. Kemudian syaitan akan bertanya lagi: Siapakah yang mencipta Allah? Apabila seorang di antara kamu mendapati hal semacam itu, maka hendaklah dia berkata “Aman tu billahi wa rasulih” (Aku beriman kepada Allah dan RasulNya) dan dengan ucapan itu syaitan itu akan pergi dari dirinya. (H.R. Ahmad)
Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya: Aku kahwin pada masa Rasulullah s.a.w, sesudah itu aku bertemu dengan Nabi s.a.w, lalu baginda bertanya: Ya Jabir! Sudah kahwinkah engkau? Jawabku: Sudah, ya Rasulullah! Tanya baginda: Dengan gadis atau dengan janda? Jawabku: Dengan janda. Baginda bersabda: Kenapa tidak dengan gadis? Engkau akan senang bersenda gurau dengannya. Jawabku: Aku punya saudara-saudara perempuan yang ramai ya Rasulullah. Aku khuatir isteriku akan turut mengatur urusanku dan adik-adikku. Sabda Rasulullah s.a.w: Oh begitu. Kerana itulah justeru wanita itu dikahwini kerana agamanya, kerana hartanya, kerana kecantikannya. Rupanya engkau telah memilih yang beragama. Semoga engkau bahagia! (H.R. Muslim)
Dari Huzaifah bin al-Yaman r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan sembahyang dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan Al-Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walau pun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, di antaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, “Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat La ilaha illallah, lalu kami pun mengatakannya juga”. Maka berkata Shilah (perawi hadith daripada Huzaifah): Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan sembahyang, puasa, nusuk, dan sedekah? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Shilah yang bertanya). Kemudian Shilah mengulangi pertanyaan itu tiga kali. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Shilah itu. Kemudian Shilah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab: Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali). (H.R Ibnu Majah)
Dari ‘Irbad bin Sariyah, sesungguhnya dia mendengar Nabi s.a.w bersabda: Aku adalah hamba Allah dan penutup sekalian Nabi. Dan sesungguhnya (ketika aku diangkat menjadi Nabi) Nabi Adam masih tanah terbaring (di dalam syurga). Aku akan memberitahu ta’wil perkara tersebut. Itulah yang didoakan Nabi Ibrahim (surah Al-Baqarah: 128), dikhabarkan Nabi Isa kepada kaumnya (surah ash-Shaf:6) dan itulah yang dimimpikan oleh ibuku yang melihat nur keluar dari perutnya yang menerangi istana-istana di Syam. Begitulah juga yang dilihat oleh ibu-ibu para nabi (yang juga bermimpi). (H.R. Ahmad; Musnad Imam Ahmad: 4/128)
Daripada Abu Hurairah berkata: Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah tuan diangkat menjadi Nabi? Baginda s.a.w menjawab: Ketika Adam masih lagi (kejadiannya) di antara roh dan jasad. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketahuilah bahawa aku ini kekasih Allah dan bukanlah ingin membangga diri. Akulah pemegang panji-panji kepujian pada hari kiamat dan bukanlah ingin membangga diri. Akulah yang mula-mula sekali memberi syafaat dan yang mula-mula diterima syafaatnya pada hari kiamat dan bukanlah ingin membangga diri. Akulah yang mula-mula menggerakkan kunci syurga, lalu Allah membukanya kepadaku, maka masuklah aku ke dalamnya dan bersamaku orang-orang mukmin yang fakir dan akulah semulia-mulia orang-orang yang terdahulu dan semulia-mulia orang yang terkemudian dan bukanlah ingin membangga diri. (H.R. Tirmidzi)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila berkumpul suatu kaum dalam rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya, maka ketenangan pasti akan turun kepada mereka, rahmat Allah melingkupi mereka, malaikat-malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang ada didekatNya (para malaikat). (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan menghiasinya. (H.R. Tirmidzi)
Apabila salah seorang daripada kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk berkahwin, maka lakukanlah! (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Firman Allah s.w.t: Wahai hamba-hambaKu, Aku telah haramkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke atas kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah sesat kecuali orang-orang yang mendapat petunjukKu, maka mintalah hidayah daripadaKu, nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripadaKu, maka mintalah daripadaKu nescaya Aku berikan kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripadaKu nescaya akan Aku berikan. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan. (Hadith Qudsi Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ummu Salamah r.ha, bahawa ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang tertimpa musibah lalu ia berkata: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” dan berdoa: “Allahuma jurnii fi musibatii wakhluf liya khairan minhaa (Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik daripadanya)”. Nescaya Allah akan memberinya pahala kerana musibah itu dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak terjadi hari Kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, “Mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu”. Di dalam riwayat lain ada disebutkan: Sudah dekat suatu masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Qatadah: Kami pernah berjalan bersama Nabi s.a.w pada suatu malam. Sebahagian kaum lalu berkata: Wahai Rasulullah, sekiranya Tuan mahu istirehat sebentar bersama kami? Baginda menjawab: Aku khuatir kalian tertidur sehingga terlewatkan solat. Bilal berkata: Aku akan membangunkan kalian. Maka mereka pun berbaring, sedangkan Bilal bersandar pada haiwan tunggangannya, tapi rasa mengantuknya mengalahkannya dan akhirnya ia pun tertidur. Ketika Nabi s.a.w terbangun ternyata matahari sudah terbit, maka baginda pun bersabda: Wahai Bilal, mana bukti yang kau ucapkan? Bilal menjawab: Aku belum pernah sekalipun merasakan mengantuk seperti ini sebelumnya. Baginda lalu bersabda: Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla memegang roh-roh kalian sesuai kehendakNya dan mengembalikannya kepada kalian sekehendakNya pula. Wahai Bilal, berdiri dan azanlah (umumkan) kepada orang-orang untuk solat! Kemudian baginda berwudhu’, ketika matahari meninggi dan tampak sinar putihnya, baginda pun berdiri melaksanakan solat. (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda kepada Bilal r.a ketika solat Fajar (Subuh): Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amal yang paling utama yang sudah kamu amalkan dalam Islam, sebab aku mendengar di hadapanku suara seliparmu di dalam syurga. Bilal berkata: Tidak ada amal yang utama yang aku sudah amalkan kecuali bahawa jika aku bersuci (berwudhu’) pada suatu kesempatan malam atau pun siang melainkan aku selalu solat dengan wudhu’ tersebut disamping solat wajib. Berkata (Abu ‘Abdullah): Istilah Daffa na’laika maksudnya gerakan selipar. (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. (H.R. Muslim)
Dari Amr bin ‘Auf r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah. Bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan menimpa kalian. Akan tetapi aku khuatir ketika dibukakan kepada kalian dunia sebagaimana telah dibukakan bagi orang-orang sebelum kalian. Kemudian kalian pun berlumba-lumba dalam mendapatkannya sebagaimana orang-orang yang terdahulu itu. Sehingga hal itu membuat kalian menjadi binasa sebagaimana mereka dibinasakan olehnya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Ka’ab bin ‘Iyadh r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap umat memiliki fitnah, sedangkan fitnah umatku adalah harta. (H.R. Tirmidzi, hadith hasan sahih)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kalian (dalam hal dunia) dan janganlah kalian melihat orang yang lebih di atasnya. Kerana sesungguhnya hal itu akan membuat kalian tidak meremehkan nikmat yang Allah berikan kepada kalian. (H.R. Muslim)
Dari Shuhaib r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sangat mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak didapatkan kecuali pada diri orang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan maka dia bersyukur. Dan apabila dia mendapatkan kesusahan maka dia akan bersabar. (H.R. Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Allah, tidak ada kehidupan yang sejati selain kehidupan akhirat. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau. Dan sesungguhnya Allah Ta’ala menyerahkannya kepada kalian untuk diurusi kemudian Allah ingin melihat bagaimana sikap kalian terhadapnya. Maka berhati-hatilah dari fitnah dunia dan wanita. (H.R. Muslim)
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Jadilah kamu di dunia seperti halnya orang asing atau orang yang sekadar menumpang lewat/musafir. (H.R. Bukhari)
Dari Sahl bin Sa’id as-Sa’idi r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi minum seteguk air sekalipun kepada orang kafir. (H.R. Tirmidzi, hadith hasan sahih)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Ada apa antara aku dengan dunia ini? Tidaklah aku berada di dunia ini kecuali bagaikan seorang pengendara/penempuh perjalanan yang berteduh di bawah sebuah pohon. Kemudian dia beristirahat sejenak di sana lalu meninggalkannya. (H.R. Tirmidzi, hadith hasan sahih)
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezekinya kemudian dia mula meminta-minta kepada orang lain, maka kesempitan itu tidak akan hilang. Dan barangsiapa menghadapi kesempitan dalam rezeki kemudian dia meminta kepada Allah, maka Allah akan menyediakan kepadanya rezeki dengan segera, sama ada cepat atau dilambatkan sedikit. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Firman Allah s.w.t: Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadith Qudsi Riwayat Ahmad)
Dari Al-Musayyab bin Hazn r.a: Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah s.a.w bersabda: Pakcik, ucaplah dua kalimah syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: Wahai Abu Talib, sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap dua kalimah syahadat serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Muttalib malah enggan mengucapkan kalimah syahadat. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ Yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka. Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ Yang bermaksud: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam. (H.R. Muslim)
Dari Anas r.a katanya: Suatu arakan jenazah telah melewati suatu tempat. Lantas orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. Ya, pasti, berkata Rasulullah s.a.w menyetujuinya. Kemudian berlalu pula arakan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula: Mayat yang jahat. Berkata Rasulullah s.a.w: Ya, pasti! Maka bertanya Umar bin al-Khattab: Apakah yang pasti ya Rasulullah? Jawab baginda: Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi. (H.R. Bukhari)
Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah s.a.w, dengan tujuan supaya baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah (sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin). Maka baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin): Semoga Allah memberi hidayat kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu. (H.R. Tirmidzi)
Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka. Orang-orang menyangka bahawa baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam. (H.R. Abu Hurairah)
Dari Abu Hurairah: Nabi s.a.w mencium Al-Hasan bin Ali dan di sisi Nabi ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro’ berkata: Aku punya 10 orang anak, tidak seorang pun dari mereka yang pernah ku cium. Maka Rasulullah s.a.w pun melihat kepada Al-Aqro’ lalu baginda bersabda: Barangsiapa yang tidak merahmati/menyayangi maka ia tidak akan dirahmati. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.a: Datang seorang Arab Badwi kepada Nabi s.a.w lalu dia berkata: Apakah kalian mencium anak-anak lelaki? Kami tidak mencium mereka. Maka Nabi s.a.w bersabda: Aku tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah mencabut rasa rahmat/sayang dari hatimu. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Anas bin Malik berkata: Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk menikah dan melarang keras untuk membujang dan baginda berkata: Nikahilah wanita yang sangat penyayang dan yang mudah beranak banyak kerana aku akan berbangga dengan kalian di hadapan para Nabi pada hari kiamat. (H.R. Ibnu Hibban)
Dari Ma’qil bin Yasar berkata: Datang seorang pemuda kepada Nabi s.a.w dan berkata: Aku menemukan seorang wanita yang cantik dan memiliki martabat tinggi namun ia mandul apakah (boleh) aku menikahinya? Nabi s.a.w menjawab: Jangan! Kemudian pemuda itu datang menemui Nabi s.a.w kedua kalinya dan Nabi s.a.w tetap melarangnya. Kemudian ia menemui Nabi s.a.w yang ketiga kalinya maka Nabi s.a.w bersabda: Nikahilah wanita yang sangat penyayang dan yang mudah beranak banyak kerana aku akan berbangga dengan kalian di hadapan umat-umat yang lain. (H.R. Abu Daud, Ibnu Hibban dan An-Nasai’e)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kalian memukul para wanita (isteri-isteri kalian)! Lalu Umar pun datang menemui Nabi s.a.w dan berkata: Para isteri berani dan membangkang suami-suami mereka! Maka Nabi s.a.w pun memberi keringanan untuk memukul mereka, maka para isteri pun dipukul. Para isteri pun banyak yang berdatangan menemui isteri-isteri Nabi s.a.w (para ummul mukminin) mengeluhkan tentang suami mereka. Nabi s.a.w pun berkata: Sungguh para isteri banyak yang telah mendatangi isteri-isteri Muhammad s.a.w mengeluhkan tentang suami-suami mereka, mereka itu (para suami yang memukul) bukanlah yang terbaik diantara kalian. (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda: Orang-orang terbaik di antara kalian tidak akan memukul. (H.R. Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Dari Jabir, ia berkata: Rasulullah s.a.w melarang memukul di wajah dan memberi alamat (dengan menggores) di wajah. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian mencambuk (memukul) isterinya sebagaimana mencambuk (memukul) seorang budak lantas ia menjimaknya di akhir hari. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Dan merupakan hak kalian agar mereka (isteri-isteri kalian) untuk tidak membiarkan seorang pun yang kalian benci untuk masuk ke dalam rumah kalian, dan jika mereka melakukan maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak membekas. (H.R. Muslim)
Dari Mu’awiyah bin Haidah: Seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w: Apa hak seorang wanita terhadap suaminya? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberi makan kepadanya jika ia makan, memberi pakaian kepadanya jika ia berpakaian, dan tidak memukul wajahnya, tidak memalukannya, serta tidak meng-hajr (menjauhi isterinya dari tempat tidur) kecuali di dalam rumah. (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah halal dusta kecuali pada tiga perkara, seorang suami berbohong kepada isterinya untuk membuat isterinya redha, berdusta tatkala perang, dan berdusta untuk mendamaikan (memperbaiki hubungan) di antara manusia. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bertakwalah kepada Allah pada (penunaian hak-hak) para wanita, kerana kalian sesungguhnya telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kalian menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimat Allah. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sekeping dinar yang engkau infakkan pada jihad fi sabilillah, sekeping dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba, sekeping dinar yang engkau sedekahkan kepada seorang miskin, dan sekeping dinar yang engkau infakkan kepada isterimu, maka yang paling besar pahalanya adalah sekeping dinar yang engkau infakkan kepada isterimu. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat  membentangkan sayapnya karena redha terhadap orang yang mencari ilmu. Dan sesungguhnya orang yang mencari ilmu akan didoakan oleh mereka yang ada di langit dan di bumi bahkan ikan-ikan yang ada di air. Dan sesungguhnya  keutamaan orang yang berilmu berbanding orang yang ahli ibadah seperti keutamaan (cahaya) bulan purnama dengan seluruh cahaya bintang. Sesungguhnya para ulama’ itu adalah pewaris para Nabi, sesugguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, akan  tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil bahagian untuk mencari ilmu, maka dia sudah mengambil bahagian yang besar. (H.R. Ahmad, Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang imannya paling sempurna di antara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaknya yang kalian cari adalah hati yang selalu bersyukur, lisan yang selalu berzikir dan isteri yang solehah yang membantu kalian untuk meraih akhirat. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang bangun di tengah malam dan membangunkan isterinya lalu mereka berdua solat bersama dua rakaat maka mereka berdua akan dicatat sebagai lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah. (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah merahmati seorang yang bangun di malam hari lalu solat (tahajjud) dan membangunkan isterinya. Jika isterinya enggan untuk bangun maka dia pun memercikkan air di wajah isterinya. Allah merahmati seorang wanita yang bangun di tengah malam lalu solat (tahajjud) dan membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan untuk bangun maka dia pun memercikkan air ke wajah suaminya. (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)
Dari Anas bin Malik r.a: Abu Bakar mengimami sembahyang orang ramai ketika Rasulullah s.a.w dalam kesakitan yang menyebabkan kewafatan baginda. Pada hari Isnin, ketika para sahabat sedang mendirikan sembahyang, Rasulullah s.a.w membuka tirai dan berdiri memandang kami. Wajah baginda putih berseri umpama kertas, lalu baginda tersenyum lebar hingga tertawa. Anas berkata: Kami yang sedang sembahyang menjadi tercengang kehairanan dan cukup senang hati kerana Rasulullah s.a.w keluar. Abu Bakar tanpa membuang masa terus berundur menghampiri saf kerana menyangka Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang. Lalu baginda mengisyaratkan kepada mereka supaya menyempurnakan sembahyang. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kemudiannya kembali memasuki bilik dan menjatuhkan tirai. Anas berkata: Hari tersebutlah, berlakunya kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka? Jawab Rasulullah: Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita. Lalu baginda membaca ayat al-Quran (maksudnya): Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang bermujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah Seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: “Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu.” Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi di pagi hari dia telah membuka sendiri akan dosa tersebut. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang lelaki memanggil isterinya ke katil tetapi dia enggan mendatanginya, lalu suaminya tidur dalam keadaan marah kepadanya nescaya malaikat akan melaknatnya sehingga waktu subuh (pagi). (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka. Ketika itu ku lihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir. Baginda s.a.w ditanya oleh seseorang: Apakah mereka kafir kepada Allah? Jawab Rasulullah s.a.w: Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata: Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun! (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla selain isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya. (H.R. Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak dihalalkan bagi seorang isteri yang beriman kepada Allah untuk mengizinkan seseorang masuk ke rumah suaminya, padahal suaminya tidak senang. (H.R. Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus. (H.R. Ahmad dan An-Nasaie)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga: Orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya. (H.R. Ahmad)
Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? Bersabda Nabi s.a.w: Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya). (H.R. At-Thabrani)
Berkata Ubadah bin Somit r.a: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi s.a.w bersabda : Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad? Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minum salah seorang antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit. (H.R. Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur’an. (H.R. Ahmad dan An-Nasai’e)
Dari Abu Sa’id al-Khudri, seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah s.a.w dan sampaikan perkara itu kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga al Quran! (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap bayi itu dilahirkan atas dasar fitrah (Islam). Maka kedua orang tuanyalah (ibu bapa) yang (kemudian) menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (H.R. Bukhari)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya Allah Azza Wajalla berfirman: Sesiapa yang memusuhi seseorang wali Aku maka sesungguhnya Aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidak ada satu perbuatan taqarrub (mendekatkan diri) kepadaKu oleh hambaKu yang lebih Aku cintai selain daripada kewajipan-kewajipan yang Aku fardhukan ke atasnya. HambaKu akan terus (beramal) menghampirkan diri kepada Aku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya maka aku (menjadikan) pendengarannya yang dengannya dia mendengar, penglihatannya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memukul dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Jika dia memohon (sesuatu) daripada Aku nescaya aku berikannya, dan jika dia memohon perlindungan Aku (daripada sesuatu) nescaya akan aku lindunginya. Aku tidak ragu daripada sesuatu yang Aku lakukan sepertimana Aku ragu (hendak mengambil) nyawa hamba Aku yang mukmin di mana dia membenci maut sedang Aku tidak suka menyakitinya. (Hadith Qudsi Riwayat Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah. (H.R. al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya. (H.R. Tirmidzi)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu? Lalu jawab sahabat: Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta. Lantas Baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk. (H.R. Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam. Sahabat-sahabat Baginda berkata: Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. Baginda s.a.w bersabda: Meskipun demikian, kepanasan Neraka Jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini. (H.R. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat, yakni perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang (nipis, ketat, seksi), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, kepala mereka seakan-akan bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok waktu berjalan. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang hamba dikebumikan di dalam kuburnya kemudian ditinggalkan oleh kawan-kawannya nescaya dia akan mendengar bunyi hentakan tapak kasut mereka. Seterusnya dia akan didatangi oleh dua malaikat lalu mendudukkannya dan bertanya: Apa pendapatmu tentang lelaki ini (iaitu Nabi Muhammad s.a.w)? Baginda bersabda lagi: Sekiranya dia seorang mukmin, nescaya dia akan menjawab: Aku bersaksi bahawa dia hamba Allah dan pesuruhNya. Lalu diberitahu kepadanya: Lihatlah tempatmu di Neraka, sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan Syurga. Nabi s.a.w bersabda: Dia dapat melihat kedua-duanya iaitu Syurga dan Neraka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berdiri di hadapan pintu syurga ternyata kebanyakan orang yang memasukinya ialah dari kalangan orang-orang miskin. Aku juga melihat para pembesar sedang ditahan kecuali penghuni Neraka, di mana mereka diarahkan terus pergi ke Neraka. Ketika aku berdiri di hadapan pintu Neraka ternyata kebanyakan orang yang memasukinya adalah kaum wanita. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Golongan yang paling sedikit menghuni syurga ialah kaum wanita. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka? Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila membaca ayat yang menyebut kalimat sujud lalu ia (Adam) sujud, larilah syaitan sambil menangis dan berkata: Celaka aku! Manusia diperintah bersujud lalu sujud maka syurga baginya dan aku diperintah bersujud tetapi aku tolak, maka neraka bagiku. (H.R. Muslim)
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata: Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata: Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar: Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar! (H.R. Muslim)
Barangsiapa yang menuntut sesuatu ilmu untuk berbangga diri di hadapan ulama’, atau berbalah dengan orang bodoh atau mengalihkan pandangan manusia kepadanya, maka dia akan ditempatkan di dalam neraka. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. (H.R. Muslim dan Abu Daud)
Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w meninggal di rumahku, pada hatiku dan berada antara dada dan kerongkonganku. Salah seorang dari kami membacakan doa untuknya dengan doa yang biasa dibacakan untuk orang sakit. Aku pun ikut mendoakannya. Kemudian baginda mengangkat pandangannya ke langit dan mengucapkan: “Arrafiiqul A’laa, Arrafiiqul A’laa (Ya Allah, sekarang aku memilih kekasihku yang tertinggi, ya Allah, sekarang aku memilih kekasihku yang tertinggi).” Lalu Abdurrahman bin Abu Bakar masuk dengan membawa kayu siwak yang masih basah. Nabi s.a.w pun menatapnya, saya mengira baginda memang memerlukan siwak tersebut. Aisyah berkata: Maka aku mengambilnya, mengunyahnya, mengibas-ngibaskannya, dan membaguskannya, kemudian aku berikan kepada baginda. Lantas baginda membersihkan giginya dan belum pernah aku melihat orang yang membersihkan giginya sebagus yang baginda lakukan. Setelah itu baginda memberikannya kepadaku namun jatuh (lepas) dari tangannya. Segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan antara air liurku dengan air liur baginda pada hari-hari terakhir baginda di dunia dan pada hari-hari pertama di akhirat kelak. (H.R. Bukhari)
Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda ketika beliau masih sihat: Tidaklah seorang Nabi diambil nyawanya, hingga diperlihatkan terlebih dahulu tempat duduknya di syurga. Lalu disuruh memilihnya. Tatkala baginda sakit dan ajal menjemputnya, yang pada waktu itu kepala beliau berada di peha Aisyah, baginda pengsan. Setelah baginda sedar, baginda mengalihkan pandangannya ke atap rumah kemudian bersabda: “Ya Allah, sekarang aku memilih kekasihku yang tertinggi.” Aisyah berkata: Kalau begitu baginda tidak akan bersama kita. Maka aku pun mengerti bahawa ucapanya itu adalah perkataan yang pernah baginda sampaikan kepada kami ketika baginda masih sihat. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku akan menjamin sebuah rumah di dasar syurga bagi orang yang meninggalkan debat meskipun dia berada dalam pihak yang benar. Dan aku menjamin sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam keadaan bergurau. Dan aku akan menjamin sebuah rumah di bahagian teratas syurga bagi orang yang membaguskan akhlaknya. (H.R. Abu Daud)
Daripada Abu Hurairah r.a, beliau bertanya Rasulullah s.a.w: Siapakah yang akan mendapat kebahagian di hari kiamat melalui syafaat Baginda s.a.w? Rasulullah s.a.w menjawab: Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya aku telah memerhatikan minatmu terhadap hadith, maka aku telah menduga bahawa tiada yang akan bertanya kepada aku tentang hal ini sebelum engkau. Baginda menambah: Yang akan mencapai kebahagian dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucapkan kalimah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله dengan hati dan jiwa yang ikhlas. (H.R. Bukhari dan Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Zikir yang paling afdhal ialah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله dan doa yang paling afdhal ialah Alhamdulillah. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada seorang pun hamba yang mengucapkan لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله melainkan dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga kalimah itu terus menuju ke Arasy kecuali mereka yang terlibat dengan dosa-dosa besar. (H.R. Tirmidzi, An-Nasaie, Ibnu Hibban dan As-Sayuthi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang mengucapkan لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Baginda s.a.w ditanya: Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Baginda s.a.w menjawab: Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan haram (mungkar dan sesat). (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Dua kalimah yang ringan pada lidah, berat pada Al-Mizan (yakni timbangan Allah di hari akhirat) yang kedua-duanya sangat-sangat di sukai oleh Allah SWT itulah bertasbih dengan Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallhil ‘Azhim. (H.R. Bukhari, Muslim, Tirmidzi, An-Nasai’e dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Di satu ketika, Nabi Musa a.s memohon kepada Allah s.w.t: Wahai Tuhan, ajarkanlah aku akan sesuatu agar dapat aku mengingatiMu dengannya. Allah s.w.t berfirman: Sebutlah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله! Baginda menjawab: Wahai Tuhan, ini diucapkan oleh setiap hambaMu. Allah s.w.t berfirman lagi: Sebutlah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله! Baginda menjawab lagi: Wahai Tuhan, aku mahukan sesuatu yang istimewa khas buat diriku. Allah s.w.t berfirman menjawab: Jika tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di atas satu bahagian di neraca timbangan dan لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله di sebelah yang lain, nescaya akan lebih berat di sebelah لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله. (H.R. An-Nasaie, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan? Baginda menjawab: Barangsiapa yang taat kepadaku dia masuk syurga dan barangsiapa yang melanggar perintahku dia telah enggan. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghadiri (menyaksikan) jenazah sehingga jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan Bukit Uhud. (H.R. Muslim)
Seorang lelaki telah dihumban ke Neraka pada Hari Kiamat, terkeluar ususnya dan dia berputar dalam Neraka seperti seekor keldai berputar mengelilingi pengisar gandum dalam kandang. Ahli Neraka mengerumuninya dan mereka bertanya: Hai kamu! Apa yang telah terjadi kepadamu? Bukankah kamu dahulu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menegah manusia daripada melakukan perkara mungkar? Dia menjawab: Memang benar. Aku telah menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi aku (sendiri) meninggalkannya dan aku menegah manusia dari melakukan perkara mungkar sedangkan aku melakukannya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Dan apabila harus pula engkau lakukan (iaitu mengharapkan mati), maka hendaknya ia berucap: Ya Allah, hidupkanlah hambamu bila hidup itu lebih baik untukku, dan matikanlah hambamu bila mati itu lebih baik untukku. (H.R Bukhari dan Muslim)
Seorang perempuan datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w serta menerangkan katanya: Sesungguhnya sepupuku meminangku, maka sebelum aku berumah tangga, ajarkanlah kepadaku, apakah hak suami terhadap isterinya? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya hak suami terhadap isterinya sangatlah besar, sehingga apabila mengalir darah hidung atau nanah suaminya, lalu dijilat isterinya, masih belum terbayar hak suaminya itu. Dan jika sekiranya manusia dibolehkan sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan si isteri untuk sujud kepada suaminya. (H.R. Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Isteri-isteri kamu tergolong dalam golongan penghuni-penghuni Syurga adalah yang subur dengan kasih sayang dan sentiasa meminta keredhaan daripada suaminya. Apabila suami sedang marah, isteri menghampiri suami dan menyambut tangan suaminya lalu berkata: “Aku tidak ingin tidur sebelum kamu berasa tenang.” (H.R. An-Nasa’ie)
Berkata Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa telah berwuduk dengan cara yang baik, kemudian terus ia menuju (ke masjid, tetapi) didapati orang ramai telah selesai dari bersembahyang (jemaah) Allah swt akan mengurniakan kepadanya pahala (solah jamaah) sama dengan mereka yang hadir berjemaah, dengan tidak mengurangkan sedikit pun pahala (solah) jemaah mereka. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka perkataan itu akan mencampakkannya ke dalam Neraka sejauh antara timur dan barat. (H.R. Bukhari)
Dari Anas r.a, kami para sahabat r.a bertanya: Ya Rasullullah s.a.w, kami tidak akan menyuruh orang untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan menjauhi semua kemungkaran. Maka Nabi s.a.w bersabda: Tidak, bahkan serulah orang untuk berbuat baik, meskipun kalian belum mengamalkan semuanya. Dan cegahlah kemungkaran, meskipun kalian belum menghindari semuanya. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya. (H.R. Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menyeru kepada kebaikan, maka dia mendapat pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka dan barangsiapa mengajak kepada kesesatan, maka dia mendapat dosa sebanyak yang diperoleh mereka tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap kasar balasannya ialah neraka. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Said r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Pada Hari Kiamat kelak maut didatangkan seperti kibas belang (Abu Kuraib menambah di dalam riwayatnya: Lalu dihentikan antara Syurga dan Neraka. Mereka sepakat pada baki Hadith). Kemudian diseru: Wahai penghuni Syurga! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu berkata: Ya! Ini adalah maut. Kemudian diseru pula: Wahai ahli Neraka! Adakah kamu kenal siapa ini? Mereka mendongak dan memandang lalu menjawab: Ya! Itu adalah maut. Kemudian diperintahkan supaya maut disembelih dan menyeru: Wahai ahli Syurga! Kamu tetap kekal dan tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tetap kekal dan tidak akan mati. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca ayat yang bermaksud: Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan dan mereka dalam kelalaian serta tidak beriman. Kemudian baginda menunjuk ke arah dunia dengan tangan. (H.R. Muslim)
Dari Aisyah r.a katanya: Sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad melihat Tuhannya, sesungguhnya orang itu dusta kerana Allah mengatakan: Pemandangan tidak sampai kepadaNya. Dan sesiapa yang menceritakan kepada engkau bahawa Muhammad mengetahui hal yang ghaib, sesungguhnya orang itu dusta kerana Tuhan mengatakan: Tiada mengetahui hal yang ghaib melainkan Allah. (H.R. Muslim)
Daripada Suhaib daripada Nabi s.a.w bersabda: Apabila Ahli Syurga telah memasuki syurga Allah Tabaraka wa Taala akan berkata: Kamu mengkehendaki sesuatu supaya Aku tambahkan lagi? Lalu mereka menjawab: Bukankah Kamu telah memutihkan wajah kami? Bukankah Kamu telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada neraka? Maka Allah menyingkap tabir dan tidaklah diberi nikmat yang lebih mereka cintai selain daripada melihat kepada Tuhan mereka Azza wa Jalla. Kemudian baginda membaca ayat ini: “Bagi mereka yang berbuat baik akan diberi kebaikan dan tambahan.” [Yunus: 26] (H.R. Muslim)
Dari Abu Dzar r.a katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Adakah anda melihat Allah? Jawab baginda: Dia Maha Cahaya, bagaimana aku dapat melihatnya? (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku pernah bertanya kepada Malaikat Jibril, pernahkah engkau melihat Tuhanmu ya Jibril? Jibril menjawab: Di antara aku dan Allah ada 70 lapis hijab yang terdiri daripada cahaya. Bila terbuka sahaja lapisan hijab cahaya yang paling luar, aku pasti terbakar. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak, haram baginya bau syurga. (H.R. Abu Daud dan Tirmidzi)
Dari Abu Said Al-Khudri dan dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bencana senantiasa menimpa orang mukmin dan mukminah pada dirinya, anaknya dan hartanya, sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada kesalahan pada dirinya. (H.R. Tirmidzi, Ahmad, Al-Hakim dan Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hambaNya dengan penyakit, sehingga ia menghapuskan setiap dosa darinya. (H.R. Al-Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka. (H.R. Al-Bazzar)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan ubatnya, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan yang haram. (H.R. Ad Daulabi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kalian pada apa-apa yang haram.(H.R. Abu Ya’la dan Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan penyakit kalian pada apa-apa yang diharamkan atas kalian. (H.R. Bukhari dan Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada ketaatan kepada siapa pun dalam maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara yang baik menurut syariat. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Api yang kamu semua nyalakannya di dunia ini adalah 1 bahagian daripada 70 bahagian panasnya api neraka jahanam. Para sahabat berkata: Demi Allah, api di dunia ini pun sudah amat panasnya ya Rasulullah! Baginda lalu bersabda lagi: Memang, api neraka itu masih lebih panasnya 69 kali bahagian panasnya. Semuanya itu setiap bahagiannya sama suhu panasnya dengan api di dunia ini. (H.R. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Solat dua rakaat sebelum solat subuh adalah lebih baik daripada dunia dan segala apa yang ada padanya. (H.R Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, Nabi s.a.w ucapkan kalimat ini satu kali. Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku. Nabi s.a.w ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali. (H.R. Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah s.w.t, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barangsiapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali).” (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah dari itu, dari makan dan minum, namun puasa adalah dengan menahan diri daripada bercakap kosong dan lucah, maka jika seseorang memaki atau menyakitimu, maka katakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (H.R. Ibn Khuzaimah, hadith sahih)
Rasulullah s.a.w bersabda: Jika kamu mendengar sesuatu wabak (penyakit) menular di sebuah tempat, janganlah kamu memasuki kawasan itu. Namun jika wabak tersebut merebak di tempat kamu, janganlah kamu meninggalkan kawasan tersebut. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya. (H.R Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan RasulNya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu adalah sesuatu yang nyata dan demikian juga yang haram adalah nyata, (telah dijelaskan oleh Allah dan RasulNya) namun terdapat di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu perkara yang kesamaran (syubhat) yang mana tidak diketahui oIeh ramai di kalangan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada mengambil perkara-perkara yang syubhat, maka terpeliharalah agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang melibatkan diri pada perkara-perkara syubhat bererti ia melibatkan dirinya pada perkara yang haram. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang isteri yg menyakiti suaminya di dunia ini, melainkan isterinya di kalangan Bidadari (yang berada di dalam syurga) berkata kepada isterinya yang di dunia itu sebagai amaran dan peringatan: “Jangan kamu menyakiti kekasih yang bakal menjadi suami kami, nanti kamu akan dibinasakan oleh Allah (di akhirat).” (H.R. Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Nu’aim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Jika salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat. (H. R. Bukhari & Muslim)
Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a, dia menyatakan: Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Baginda s.a.w pun berkata kepadanya: Wahai Sulaik, berdiri dan rukuklah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya. Kemudian baginda bersabda: Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Jika salah seorang di antara kamu memasuki masjid, hendaklah dia tidak duduk hingga mengerjakan solat dua rakaat. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya (bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedekahkan kepada sesiapa yang diingini. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali. (H.R. Tirmidzi dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku mengagumi seorang mukmin. Bila memperoleh kebaikan dia memuji Allah dan bersyukur. Bila ditimpa musibah dia memuji Allah dan bersabar. Seorang mukmin diberi pahala dalam segala hal walaupun dalam sesuap makanan yang diangkatnya ke mulut isterinya. (H.R. Ahmad dan Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa menahan kemarahan padahal dia mampu meluahkannya, maka Allah kelak akan memanggilnya di hadapan makhluk-makhluk hingga Allah memperkenankan kepadanya untuk memilih bidadari yang dikehendakinya. (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Ibnu Abbas menceritakan: Nabi s.a.w berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah s.a.w: Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar. Kemudian baginda melanjutkan perkataannya: Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan. Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya: Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu? Jawab baginda: Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah akan membina rumah baginya di syurga; iaitu 4 rakaat sebelum Zohor dan 2 rakaat pula selepas Zohor, serta 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat sebelum Fajar. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang yang bertaubat. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak dosa, tapi banyak bertaubat. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat. (H.R. Ahmad dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemuinya yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya dari mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan kejahatan masyarakatnya. (H.R. Bukhari, Tirmidzi dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua-dua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud, maka akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia, ketika masih tersisa sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku mengabulkannya, siapa yang memohon kepadaKu, nescaya Aku memberinya, siapa yang meminta ampun kepadaKu nescaya Aku mengampuninya! (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Seburuk-buruk makanan yang dijamu ialah hidangan dalam majlis kenduri perkahwinan apabila orang-orang kaya dijemput dan orang-orang miskin tidak dijemput. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya mati itu adalah amat pedih umpama ditetak dengan pedang beberapa kali atau digergaji dengan gergaji atau umpama dipotong dengan gunting beberapa kali guntingan (H.R. Abu Na’im)
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti. Siapa saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan satu darjat. (H.R. Ibnu Hibban)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Orang mukmin memandang dosanya seperti sebuah bukit di atasnya yang dia bimbang akan menghempapnya, sedangkan orang munafik memandang dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya lalu dihalaunya sehingga terbang. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Bergerombolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahramnya. (H.R. Ibnu Majah; dhaif)
Daripada Ibn Mas’ud, katanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Janganlah seorang perempuan itu bergaul dengan perempuan lain kemudian ia menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya. (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan an-Nasai’e)
Rasulullah s.a.w bersabda: Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, dia mesti memperbetulkannya dengan tangannya; dan sekiranya dia tiada cukup kekuatan untuk itu, maka dia mesti melakukannya dengan lidahnya; dan sekiranya dia juga tiada cukup kekuatan untuk itu, maka dia mesti membencinya dalam hatinya dan ini adalah selemah-lemah iman. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan ada dari umatku segolongan manusia yang meminum arak dengan mereka menamakannya dengan nama lain, kepala mereka dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan penyanyi-penyani wanita. Allah akan membenamkan mereka ke dalam bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan babi. (H.R. Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagiamana engkau menyembunyikan keburukan-keburukanmu, dan janganlah engkau kagum dengan amalan-amalanmu, sesungguhnya engkau tidak tahu apakah engkau termasuk orang yang celaka (masuk neraka) atau orang yang bahagia (masuk syurga). (H.R. Al-Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu dalam syurga; manakala kelucahan adalah daripada perangai yang kasar (al-jafa’), dan perangai yang kasar itu dalam neraka (H.R. Bukhari dan Al-Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yg berdusta & berbuat aniaya. Maka barangsiapa yg membenarkan kedustaan mereka & membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, & bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga). (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan secara istiqamah (terus-menerus) walaupun ianya sedikit. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi s.a.w menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.  (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepadanya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepadanya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka: Itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu. (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Ada dua kenikmatan yang disia-siakan oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat sihat dan masa lapang. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Aisyah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kalian mencaci orang-orang yang telah meninggal dunia, kerana mereka telah sampai kepada apa yang telah mereka lakukan (pembalasan amal). (H.R. Nasa’ie)
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga. (H.R. Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Kedua mata dapat berzina, dan zina keduanya adalah melihat. Kedua telinga dapat berzina, dan zina keduanya adalah mendengar. Lidah zinanya dengan bicara. Tangan zinanya dengan menyentuh. Kaki zinanya dengan melangkah. Hati zinanya dengan berhasrat dan menginginkan. Dan kemaluan akan membenarkan atau mendustakannya. (H.R. Muslim)
Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata: Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya. (H.R. Abu Daud)
Ummu Salamah pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w menjawab: Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya. (H.R. Abu Daud)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah: Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda: Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Akan lahir selepas aku beberapa pemimpin yang mementingkan diri sendiri dan yang melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh kamu. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah apakah yang engkau hendak perintah dikalangan kami ini sekiranya terdapat perkara seperti itu? Baginda s.a.w menjawab: Hendaklah kamu menunaikan tanggungjawab kamu dan memohon kepada Allah segala hak-hak yang kamu perlukan. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah s.a.w) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasulNya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api, api dipadamkan dengan air, oleh itu apabila marah salah seorang daripada kamu hendaklah berwudhu’. (H.R. Abu Daud)
Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Roh orang mati yang beriman tergantung (diawang-awangan) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya dibayar oleh warisnya atau orang lain. (H.R. Tirdmizi)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang tidak mampu membayar hutangnya atau mengurangkan bayaran jumlah hutangnya, nescaya Allah menaunginya di bawah naunganNya pada hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah. (H.R. Muslim dan Ahmad)
Dari Abu Bakar r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda terus sujud kepada Allah. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat: Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hambaKu? Malaikat menjawab: Ya. Allah bertanya lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya? Malaikat menjawab: Ya. Allah bertanya kali ketiga: Apakah kata hambaKu? Malaikat menjawab: Ia bersyukur padaMu serta mengucapkan “Dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikatNya: Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’. (H.R. Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: Tidak ada balasan bagi hambaKu yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya. (H.R. Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku peringatkan kepada kalian tentang prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling bohong, dan janganlah kalian berusaha untuk mendapatkan informasi tentang keburukan dan mencari-cari kesalahan orang lain, jangan pula saling dengki, saling benci, saling memusuhi, jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara. (H.R Bukhari)
Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. (H.R. Abu Daud dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap orang di antaramu adalah pemimpin dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya, seorang imam adalah pemimpin atas umatnya,dan dia bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas isteri dan keluarganya. (H.R. Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kecacatan pertama yang berlaku pada Bani Israil ialah apabila seorang lelaki melihat lelaki lain melakukan maksiat, dia akan berkata: Wahai si fulan! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan kerja maksiat yang engkau sedang lakukan itu kerana ia tidak harus bagi engkau untuk melakukannya. Kemudian pada keesokan harinya lelaki yang menegah itu melihat lelaki yang melakukan maksiat itu masih melakukan maksiat yang sama, tetapi dia tidak mencegahnya kerana barangkali pelaku maksiat itu merupakan orang yang memberinya makan dan minum atau rakan baiknya. Apabila Bani Israel melakukan perbuatan seperti itu, maka Allah telah memperlagakan sesama hati mereka dan kemudian Allah melaknat mereka melalui lidah para anbiya’Nya. (H.R. Abu Daud dan Tirmidzi)
Dari Abi Zar Al-Ghiffari katanya: Kekasihku s.a.w telah memerintahkan agar aku berkata benar walaupun ianya pahit. (H.R. Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Pada hari Kiamat nanti akan dihadirkan orang yang paling berbahagia di dunia yang akhirnya masuk Neraka, lalu dimasukkan sebentar ke dalam Neraka tersebut, kemudian ia ditanya, “Wahai manusia, apakah engkau pernah merasakan kebaikan? Apakah ada kebaikan yang pernah engkau alami?” Orang itu menjawab, “Sama sekali tidak wahai Rabbku.” Lalu dihadirkan pula orang yang paling sengsara di dunia ini, namun kemudian masuk ke dalam Syurga, dimasukkan ke dalam Syurga sebentar, lalu ditanya, “Wahai manusia, apakah engkau pernah merasakan kesengsaraan? Apakah ada kesengsaraan yang pernah kau alami?” Orang itu menjawab, “Tidak ada.” (H.R. Muslim dan Ahmad)
Rasulullah s.a.w bersabda: Syurga itu dikelilingi oleh perbuatan yang dibenci manusia, sementara Neraka itu dikelilingi oleh perbuatan yang disukai hawa nafsu.” (H.R. Muslim, Tirmidzi, dan Ahmad)
Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi s.a.w tentang hak seorang isteri terhadap suaminya. Nabi s.a.w telah menjelaskan: Engkau memberinya makan apabila engkau makan dan memberikannya pakaian apabila engkau memakai dan janganlah engkau memukul wajahnya dan janganlah engkau memalukannya dan janganlah engkau menjauhinya kecuali dalam rumah sahaja. (H.R. Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Dua perkara apabila dimiliki oleh seseorang dia dicatat oleh Allah sebagai orang yg bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberi kelebihan. (H.R. Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggamanNya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka. (H.R. Muslim)
Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat: Wahai Rasulullah, apakah itu mengumpat? Lalu jawab baginda: Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya! Kemudian baginda ditanya lagi: Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar? Jawab baginda: Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah mengumpat, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar). (H.R. Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila diantara kamu mencampuri isterinya, hendaklah ia menutupi dirinya dan menutupi isterinya dan janganlah keduanya (suami isteri) bertelanjang bulat seperti keldai. (H.R. Tabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: Terkutuklah orang yang menyetubuhi isteri di duburnya. (H.R. Abu Daud dan Nasa’ie)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila diantara kamu telah mencampuri isterinya kemudian ia akan mengulangi persetubuhannya itu maka hendaklah ia mencuci zakarnya terlebih dahulu. (H.R. Baihaqi)
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang diantara kamu bersetubuh dengan isterinya maka janganlah ia menghentikan persetubuhannya itu sehingga isterinya juga telah selesai melampiaskan hajatnya (syahwat atau mencapai kepuasan) sebagaimana kamu juga menghendaki lepasnya hajatmu (syahwat atau mencapai kepuasan). (H.R. Ibnu Addi)
Dari Aisyah r.ha katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Pada Hari Kiamat manusia akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan belum berkhatan. Aku Bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah kaum lelaki dan wanita akan melihat di antara satu sama lain?. Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Urusan ketika itu lebih penting dari memandang kepada orang lain. (H.R. Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang sepatutnya dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (H.R. Abu Daud dan Ibn Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata. (H.R. Bukhari)
Doa sebelum jimak dengan isteri:

بِسْمِ اللهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
“Dengan menyebut nama Allah, Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari anak yang kau anugerahkan kepada kami.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, baginda akan berkata:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi)

Doa ketika Rasulullah menikahkan Ali r.a dengan Fatimah r.ha:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا
“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (H.R. Thabrani)

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila salah seorang dari kamu menikahi wanita atau membeli seorang budak (hamba) maka peganglah ubun-ubunnya lalu bacalah ‘Basmalah’ serta doakanlah dengan doa berkah seraya mengucapkan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا ، وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا ، وَمِنْ َشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ
“Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya.” (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah)

0 comments:

"Jika aku TIDAK menulis dengan jari, maka aku akan menulis dengan HATI,..aku tidak pandai berbahasa sastera maka aku BERUSAHA berbahasa TAKWA..menulis bukan untuk mengkayakan BAHASA tapi menulis untuk melakar IMAN didalam jiwa... >>Biarlah sekalipun kita tidak TIDAK HEBAT menulis,..yang penting setiap ILMU yang disampaikan terus ditulis, menulislah sesuatu yang PERLU,..jangan menulis mengikut mahu, apabila kita sentiasa MANFAATKAN sesuatu yang ada disisi, secangkir pena sekalipun banyak memberi ERTI kepada yang memerlukan".

Jumaat, 7 September 2012

0 ulasan: