Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Malaikat turun lalu menyampaikan
khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah
pemimpin para wanita penghuni syurga”.
Serikandi
tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat
terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belahan hati baginda, sisi
pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para
wanita penghuni syurga. Beliaulah Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri
pemimpin umat manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin
Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah
Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.
Fatimah
dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan
Kaabah, iaitu lima
tahun sebelum Nubuwwah. Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri bongsu
dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Beliau membesar di rumah nubuwwah
yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang
dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Ibunya, Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Radiallahu anha, wanita
terbaik pendamping Rasul akhir zaman. Suami Saidatina Fatimah adalah
antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya,
Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu anhu. Anak-anak kepada pasangan ini
adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan
dan Al-Husin Radiallahu anhuma. Datuk saudara beliau adalah pemimpin para
syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib. Datuk saudara beliau yang
lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga,
mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin
Abdul Muthalib Radiallahu anhu. Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu,
adalah antara datuk saudara beliau yang utama, sekaligus bapa saudara kepada
suaminya, yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.
Setelah turunnya
wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah
manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut. Begitu
juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum
dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari
kalangan orang-orang terawal menerima Islam. Ibnu Ishaq Radiallahu anhu
menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai
berkata,“Setelah Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah,
maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.” Puteri-puteri Rasulullah
berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan
dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman dan keimanan yang teguh
kepada Allah dan RasulNya.
WANITA YANG
SABAR DAN BERTAKWA
Di dalam sirah
perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah Rabbnya
tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan,
dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda. Saidatina
Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah,
malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat
berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.
Salah satu
peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila
menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk
tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith. Si jahil ini menawarkan diri untuk
melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam ketika baginda sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk
bangkit dari sujudnya. Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya
untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang
merancang perbuatan keji itu . Dengan lantang dan penuh berani, beliau
mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab.
Seusai solat
tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan
mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk
mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk
mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk
mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah, ada kewajipan untuk Engkau
mencelakakan Umayyah bin Khalaf”. Doa baginda Sallallahu Alaihi
Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu wa Taala. Nama-nama kaum musyrikin
yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.
Kehidupan puteri
Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum
musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam .
Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim
dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat
untuk melancarkan boikot secara total terhadap mereka. Tidak ada urusan jual
beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan
Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.
Akibatnya,
seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di
perkampungan Abu Thalib. Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu,
seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita
lantaran kelaparan. Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan Saidatina
Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali
bertemu dengan Rabbnya.
Kesan terbesar
dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah Radiallahu
anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan
berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan
ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya.
Saidatina
Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah. Di
Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah
hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan
kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri.
TELADAN RUMAHTANGGA
ALI DAN FATIMAH
Pada tahun kedua
selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan
maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham. Pernikahan penuh
berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.
Sejarah tidak
pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan
seperti halnya Saidatina Fatimah. Semenjak hari pertama perkahwinannya
dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat
berat ketika itu, bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat
adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung atau terkadang
terkena debu.
Beliau jugalah
yang memproses dan memasak adunan roti tersebut. Ini terjadi kerana
suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam
menyelesaikan urusan rumahtangganya. Bahkan Ali sempat berpesan kepada
ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di
rumahnya,“Janganlah membebani Fatimah bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar
rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung,
adunan roti dan memasak” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di
wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan
yang harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka.
Apabila tiba
masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk
meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang. Permintaan
keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan
kemaslahatan kaum muslimin yang lain. Rasulullah menyusuli pasangan
tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya:
"Bagaimana
jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada
apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril
kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat
sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika
kalian beranjak ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga
puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.” [Ditakhrij Al-Bukhari,
Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]
Kalimah-kalimah
ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga akhir
hayat mereka.
KEMULIAAN
PERIBADI FATIMAH RA
Abu Nuaim
rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di
antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia
menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”
Kehidupan
Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang
mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa
berbuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNya. Rasulullah pernah
menegur Fatimah ketika puteri kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung
dari emas, hadiah pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai
Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu
Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”. Saidatina
Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan
memerdekakannya. Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda
bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari
api neraka”.
Fatimah Az-Zahra
mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan oleh
wanita di zamannya. Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam
hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh
Saidatina Aisyah Radiallahu anha dengan menyebutkan, “ Aku tidak melihat
seseorang yang lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.
Adz-Zahaby
Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau
seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka
bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”. Beliau
menduduki kedudukan yang istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau
mendapat sebutan al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah,
ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.
MUJAHIDAH YANG
MEMENUHI HAK
Saidatina
Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di
medan jihad. Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan
pengajaran besar bagi kaum muslimin ketika itu. Imam Al-Bukhari
mengisahkan peranan Fatimah dengan berkata, “Beberapa orang wanita dari
kalangan Muhajirin dan Ansar keluar, sambil mengusung air dan makanan di
belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah. Ketika beliau
menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya,
lalu mengusap darah di wajah baginda. Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat
besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya
berdarah”.
Sah’l bin Sa’d
pula menceritakan peristiwa tersebut dengan menyebutkan, “
Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah
mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air
dengan menggunakan bekas air. Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut
semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar
dan membakarnya sehingga menjadi abu. Lalu disapukan di luka baginda,
sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”
Fatimah turut
menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang
Khandaq dan Khaibar. Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan
bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari
Khaibar. Fatimah juga ikut bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu,
beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji apabila menolak untuk
memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.
KEKASIH
RASULULLAH SAW
Rasulullah
pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau
cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”. [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary,
Muslim dan Abu Dawud]. Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita
yang paling dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki
ialah Ali”.
Diriwayatkan
dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya
kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah
atau Fatimah?’, Baginda menjawab,‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan
engkau lebih aku muliakan daripada Fatimah”.
Fatimah
menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat
ditandingi oleh wanita-wanita lain. Cukuplah kemuliaan baginya seperti
yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha melalui sanad
Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang
lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya,
dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah. Jika Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya,
bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya
di tempat yang sebelumnya baginda duduki. Jika Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan
memeluknya”.
Gambaran cinta
Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan Fatimah
adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga
kesedihan bagi baginda Nabi. Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di
antara puteri baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas
mendatangi keduanya untuk memberikan nasihat. Beliau kemudiannya keluar
dengan wajah yang berseri-seri dan bersabda “Apakah yangmenghalangiku
(dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.
Sebagaimana
Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah kerana
kemarahan Fatimah. Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya.
Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhupernah berkeinginan
untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah.
Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "Sesungguhnya
Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang
menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak
boleh bersatu dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami)” [Diriwayatkan
oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud].
Perkataan
Rasulullah ini membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana
ingin menjaga perasaan Fatimah.Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan
keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah
dengan berkata, “Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan
jauh, maka yang pertama sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat
dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri
baginda yang lain.”
PERJALANAN
MENUJU KEABADIAN
Di akhir hayat
Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda
berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di
antara kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat
mirip dengan gaya jalan Rasulullah. Baginda menyambut kehadiran puterinya
lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya. Kemudian, baginda
membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua
pula menyebabkan Fatimah tersenyum. Kami hanya mengetahui perkataan
tersebut setelah Rasulullah wafat.
Fatimah berkata, “Pada
kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya Jibril
memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun. Sementara pada tahun ini,
dia memperlihatkannya dua kali. Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak
mengertikan yang demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir.
Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya
sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah aku”.
Maka aku (Fatimah) pun menangis. Ketika melihat kesedihanku, maka
baginda bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin
para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini”. Maka, aku
pun tersenyum.”
Sepeninggalan
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot kerana
ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam. Beliau
akhirnya meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan
Ramadhan pada tahun 11 Hijrah. Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun.
Maka, benarlah apa yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah
orang yang pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli
pemergiannya.
MUBASSYARAT BIL
JANNAH!
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang
paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah
bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam bintu Imran”. [Diriwayatkan
Ahmad dan Al-Hakim]
Hadis lain yang
berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah
hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah
bersabda,
“Malaikat
turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah
adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.
Yang pasti, di
dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak riwayat
yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini. Beliau juga menduduki
tingkat yang istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang
dinyatakan oleh Ibnul Jauzy Radiallahu anhu, “Kami tidak mengetahui
seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis
selain Fatimah Radiallahu Anha”. Beliau meriwayatkan 18 hadis dari
Rasulullah, yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di
antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi. Dan
cukuplah keberkahan bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.
Semoga paparan
kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para
muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang
berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah,
ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri
nikmatNya. Semoga Allah meredhai Saidatina Fatimah Radiallahu anha,
menempatkan beliau di makam tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah
menyalahi janjiNya.
Wallahua’alam
0 comments:
Catat Ulasan