Kisah hidup
Saidatina Aisyah r.a. telah membuktikan bahawa wanita mampu menguasai bidang
keilmuan mengatasi kaum lelaki serta mampu menjadi pendidik kepada para ilmuan
dan pakar-pakar pelbagai bidang. Kehidupan beliau juga menjadi bukti kemampuan wanita
dalam mempengaruhi pandangan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, serta
membekalkan sumber inspirasi and kepimpinan yang mantap. Wanita yang kaya
dengan pekerti tinggi,lemah lembut serta sopan santun ini juga telah membawa
kebahagiaan dan ketenangan hati yang tidak putus kepada suaminya.
Saidatina Aisyah
r.a. bukan seorang graduan dari mana-mana universiti memandangkan belum wujud
lagi institusi sedemikian pada ketika hayat beliau seperti yang ada sekarang.
Namun begitu, lafaz ucapan beliau menjadi bahan kajian dalam bidang sastera,
fatwa- fatwa syariah yang beliau keluarkan dikaji di institusi-instusi
perundangan, hidup dan hasil pengkajian beliau diteliti oleh para mahasiswa dan
pendidik dalam pengkajian sejarah Islam sejak seribu tahun yang lalu.
Khazanah
pengetahuan yang dimiliki Saidatina Aisyah r.a. diperoleh sejak beliau masih
seorang kanak-kanak. Pada usia mudanya, Aisyah r.a. dibesarkan oleh bapanya,
seorang Muslim yang dihormati dan disegani ramai lantaran ketinggian ilmunya,
kelembutan budi pekertinya serta peribadinya yang disegangi ramai. Tambahan
pula, beliau sahabat yang paling rapat dengan Rasulullah s.a.w. serta merupakan
pengunjung setia ke rumah Rasulullah s.a.w. sejak zaman awal kerasulan baginda.
Semenjak beliau
muda, Aisyah r.a. yang terkenal dengan paras rupanya yang menawan serta daya
ingatan yang kuat, diletakkan di bawah jagaan Rasulullah s.a.w. sendiri.
Sebagai isteri serta pendamping baginda Rasulullah, Aisyah r.a. berpeluang
menimba ilmu pengetahuan dari baginda sehingga ke tahap yang tidak mungkin
ditandingi oleh wanita-wanita lain.
Aisyah r.a.
menjadi isteri Rasulullah s.a.w. di Mekah di sekitar usia beliau mencecah
sepuluh tahun, namun hanya mula menjalankan tanggungjawab sebagai seorang
isteri setelah tahun kedua Hijrah, iaitu ketika usia beliau sekitar empatbelas
hingga limabelas tahun. Pada waktu sebelum dan selepas pernikahan beliau,
Aisyah r.a. tetap mempamerkan kegirangan serta sifat semulajadi seorang
kanak-kanak. Beliau seidkit pun tidak teruja dengan statusnya sebagai isteri
kepada seorang Nabi Allah yang begitu disanjungi dan dikasihi oleh para
sahabat. Ini termasuklah kedua ibubapa Aisyah sendiri yang menumpukan sepenuh
kasih saying serta hormat mereka kepada Rasulullah s.a.w. berbanding orang
lain.
Berkenaan
pernikahan beliau kepada Rasulullah s.a.w., Aisyah r.a. menceritakan, sejurus
sebelum beliau ditetapkan meninggalkan rumahnya, beliau telah keluar ke halaman
rumah untuk bermain-main dengan rakannya yang sedang berlalu di situ:“Aku
sendang bermain di atas jungkang-jungkit dan rambutku yang panjang telah
menjadi kusut” kata beliau. “Mereka datang mendapatkan ku dari permainan ku
lalu menyiapkan ku.”
Saidatina Aisyah
r.a. dipakaikan pakaian pengantinnya yang diperbuat dari sutera halus berjalur
merah dari Bahrain .
Seterusnya beliau dibawa oleh ibunya ke rumahnya yang baru siap dibina serta
disambut oleh wanita-wanita Ansar di muka pintu. Mereka manyambutnya dengan
ucapan “Demi kebaikan dan kebahagiaan dan semoga diiringi kesenangan.” Dalam
kehadiran baginda Rasulullah yang sedang tersenyum lembut, semangkuk susu
dibawa kepada mereka. Rasulullah s.a.w. minum darinya lalu memberikan susu itu
kepada Aisyah. Aisyah dengan segan silu menolak pelawaan Rasulullah itu. Namun
apabila Rasulullah sekali lagi menyuruh Aisyah minum dari semangkuk susu itu,
Aisyah pun berbuat demikian. Seterusnya mangkuk itu diberikan kepada kakak
beliau, Asma, yang berada di sisinya serta diedarkan kepada mereka yang hadir
di situ. Itulah keraian yang menandai pernikahan baginda Rasulullah dengan
saidatina Aisyah yang dijalankan dalam penuh kesederhanaan.
Status beliau
sebagai isteri Rasulullah s.a.w. tidak merubah sifat riang Aisyah sebagai
seorang kanak-kanak. Rakan-rakan beliau sering berkunjung ke rumah untuk
bermain-main dengannya.
‘Sedang aku
bermain dengan permainanku,’cerita Saidatina Aisyah r.a.,’bersamaku ada
kawan-kawanku, dan datang baginda Rasulullah kepadaku, lalu mereka akan keluar
meninggalkanku, akan tetapi Rasulullah keluar mendapatkan rakan-rakanku itu dan
membawa mereka kembali kerana baginda senang denganku bermain dengan mereka.’
‘Kadangkala baginda berkata, “Tinggal di situ, wahai Aisyah,” dan sebelum
sempat rakan-rakanku meninggalkanku, baginda akan turut serta dalam permainan
kami’. Kata Aisyah r.a. ‘Suatu hari, baginda Rasulullah datang ketika aku
sedang bermain-main dengan anak patungku, dan baginda berkata, “Wahai Aisyah,
permainan apakah ini?” “Inilah kuda-kuda Sulaiman,” kata ku dan baginda pun
tertawa.’ Ada
ketika apabila baginda pulang ketika Aisyah sedang bermain dengan
rakan-rakannya, baginda Rasulullah akan berselindung di sebalik jubahnya agar
tidak mengganggu Aisyah dan rakan-rakan beliau yang sedang bermain.
Detik-detik awal
kehidupan Aisyah r.a. di Madinah turut melalui saat-saat yang mencabar. Pada
suatu ketika, bapa beliau bersama dua orang sahabat yang tinggal bersamanya
ketika itu telah diserang demam panas yang sering melanda Madinah pada
musim-musim tertentu. Ketika Aisyah menziarahi bapanya, beliau terkejut melihat
ketia-tiga orang lelaki itu sedang terlantar dalam keadaan tenat dan lemah.
Aisyah bertanyakan khabar bapanya itu namun jawapan yang diberi bapa beliau
tidak dapat difahami. Dua orang sahabat yang sedang tenat itu juga mengeluarkan
baris-baris puisi yang difikirkan Aisyah hanyalah ratapan seorang yang sedang
sakit tenat. Saidatina Aisyah berasa gusar lalu pulang menceritakan peristiwa
itu kepada baginda Rasulullah s.a.w.:
‘Mereka
maracau-racau, tidak keruan, disebabkan demam panas itu,’ Kemudian Rasulullah
bertanya kepada Aisyah apa yang diperkatakan oleh bapanya serta dua orang
sahabat yang sedang sakit tadi. Baginda berasa lega setelah Aisyah mengulangi
setiap apa yang dikatakan oleh mereka walaupun kata-kata itu belum mampu
difahami oleh Aisyah sendiri. Peristiwa ini menggambarkan daya ingatan Aisyah
yang begitu kuat yang bakal memainkan peranan penting dalam meriwayatkan
hadith-hadith baginda Rasulullah s.a.w.
Di kalangan
isteri-isteri baginda di Madinah, Aisyah nyata sekali merupakan kesayangan
Rasulullah s.a.w. Dari masa ke semasa, salah seorang sahabat baginda akan
bertanya,:
‘Wahai
Rasulullah, siapakah yang paling kau sayangi di dunia ini?’ Jawab baginda
sering berbeza-beza kerana baginda begitu mengasihi anak-anak serta
cucu-cucunya, sahabat baginda Abu Bakar, Ali, Zaid serta anak beliau Usamah.
Namun di kalangan isteri baginda yand sering disebut hanyalah Aisyah. Aisyah
sendiri begitu mengasihi baginda Rasulullah serta sering meminta kepastian
tentang kasih baginda terhadapnya. Pernah suatu ketika Aisyah r.a. bertanya
kepada Rasulullah, ‘Bagaimanakah kasihmu terhadapku?’
‘Seperti ikatan
simpulan tali,’ jawab baginda yang bermaksud kasihnya itu kuat dan kukuh. Lalu
pada waktu-waktu seterusnya Saidatina Aisyah r.a. akan bertanya kepada
Rasulullah, ‘Bagaimana keadaan simpulan itu?’ dan jawab baginda ‘Demi Allah,
masih sama (kukuh)’.
Begitu kasihnya
Aisyah kepada baginda Rasulullah sehinggakan lahir rasa cemburu dan tidak
berpuas hati sekiranya perhatian Rasulullah dicurahkan kepada orang lain
melebihi dirinya sendiri. Aisyah bertanya kepada baginda,:
‘Wahai Rasul
Allah, katakan sendiri padaku. Sekiranya engkau berada di antara dua lembah,
yang satunya tidak pernah diragut rumputnya sedangkan yang satu lagi sudah
pernah diragut rumputnya, dimanakah akan engkau lepaskan ternakkanmu?’
‘Di lembah yang
rumputnya belum pernah diragut,’ jawab Rasulullah. ‘Namun begitu,’kata beliau
‘aku tidaklah seperti isteri-isterimu yang lain. Setiap orang dari mereka
pernah mempunyai suami yang lain sebelum mu kecuali diriku.’ Rasulullah hanya
tersenyum tanpa berkata apa-apa. Cerita Aisyah lagi tentang sikap cemburunya
itu:
‘Aku tidak
mencemburui isteri-isteri Rasulullah yang lain sebagaimana aku mencemburui
Khadijah, disebabkan baginda sering menyebut-nyebut nama Khadijah serta telah
diperintahkan Allah untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah tentang
mahligainya di syurga yang bertatahkan permata. Setiap kali baginda Rasulullah
membuat sembelihan, pasti akan diberikan sebahagian daripada daging sembelihan
itu kepada teman-teman rapat Khadijah. Berkali-kali pernah ku katakan kepada
baginda, “Seolah-olah tidak pernah ada wanita lain di dunia in selain
Khadijah,”
Pernah suatu
ketika Aisyah mengadu tentang sikap Rasulullah yang begitu memandang tinggi
terhadap ‘seorang wanita tua Quraisy’, baginda berasa tersinggung lalu berkata:
‘Dialah isteri yang mempercayai diriku sedangkan orang lain menafikan diriku.
Sedangkan orang lain mendustai ku, dia meyakinkan kebenaranku. Sedang aku
dipulaukan, dia membelanjakan segala harta kekayaannya untuk meringankan beban
sengsara ku.’
Walaupun Aisyah
memiliki sifat cemburu yang sebenarnya tidak membawa kepada keburukan, beliau
sesungguhnya seorang yang amat pemurah dan penyabar. Beliau mengharungi
kehidupan yang serba kekurangan bersama isteri-isteri Rasulullah yang lain.
Beliau tidak betah hidup tanpa sesuap makanan pun dalam jangka waktu yang
panjang. Berhari-hari lamanya dapur rumah beliau tidak berasap dan beliau hidup
bersama Rasulullah di atas buah tamar dan air semata-mata. Hidupnya yang miskin
tidak membawa sebarang tekanan atau memalukan Aisyah r.a.; hidup berdikari
tidak mengganggu cara hidup beliau walau sedikit pun.
Pernah suatu
ketika, Rasulullah telah memutuskan perhubungan dengan isteri-isteri baginda
sehingga sebulan lamanya. Ini disebabkan mereka meminta sesuatu yang Rasulullah
tidak mampu berikan. Peristiwa ini berlaku selepas peperangan di Khaibar dimana
kemenangan umat Islam membawa harta rampasan serta membuahkan keinginan
terhadap harta kekayaan. Setelah kembali dari beruzlah, baginda Rasulullah
pertama sekali menuju ke rumah Aisyah. Beliau begitu gembira melihat baginda
telah kembali, namun Rasulullah mengkhabarkan kepadanya tentang penerimaan
wahyu yang menyuruh baginda memberikan Aisyah dua pilihan. Baginda seterusnya
membacakan ayat :
“Hai Nabi,
katakanlah kepada isteri-isterimu: “Jika kamu sekalian mengingini kehidupan
dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah dan aku
ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki
(keredhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka
sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala
yang besar.” (al-Ahzab 28-29)
Jawab Aisyah:
‘Sesungguhnya
aku memilih Allah dan RasulNya dan kehidupan di akhirat,’ dan jawabnya itu
disetujui isteri-isteri baginda yang lain.
Beliau setia
terhadap pilihannya itu sepanjang hidupnya bersama Rasulullah dan begitu juga
setelah kewafatan baginda. Apabila umat Islam dilimpahi harta kekayaan yang
banyak, beliau pernah dihadiahkan seratus ribu dirham. Walaupun ketika itu
beliau sedang berpuasa dan hidup dalam kekurangan, seluruh pemberian itu disedekahkan
kepada fakir miskin. Sejurus selepas itu, seorang pembantu rumahnya bertanya,
‘Bolehkan engkau menggunakan satu dirham untuk membeli daging buat berbuka
puasa?’
‘Jika aku
terfikirkan hal ini tadi, pasti aku sudah melakukannya,’ jawab Aisyah r.a.
Kasih sayang Rasulullah terhadap Aisyah berkekalan sehingga akhir hayat
baginda. Ketika baginda sedang nazak, baginda telah pulang ke rumah Aisyah atas
izinisteri-isteri baginda yang lain. Kebanyakan masa baginda hanya terlantar di
katil dengan kepala baginda di atas pangkuan Aisyah. Saiditina Aisyah telah
meminta kayu siwak dari abangnya (or adik lelaki?) serta mengunyah kayu siwak
itu untuk melembutkannya lalu diberikan kepada Rasulullah. Walaupun sudah
berkeadaan tenat, baginda menggosok gigi baginda dengan bersungguh-sungguh.
Tidak lama kemudian, baginda jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri dan Aisyah
melihat itu adalah tanda-tanda ajal baginda telah sampai. Namun sejam kemudian,
baginda kembali membuka mata.
Aisyahlah yang
menyaksikan dan menyampaikan kisah saat-saat akhir sebelum kewafatan insan
mulia ini, kekasih Allah moga dilimpahi rahmatNya.
Setelah baginda
sedar kembali, Aisyah mengingati Izrail telah berkata kepadanya: ‘Tidak seorang
Nabi itu diambil nyawanya melainkan dia telah ditunjukkan tempatnya di syurga
serta diberikan pilihan samada untuk hidup atau mati,’
‘Baginda tidak
akan memilih untuk bersama kita,’ kata Aisyah pada dirinya. Kemudian Aisyah
terdengar baginda berkata, ‘Demi pertemuan agung di syurga, demi hamba-hambanya
yang dilimpahi rahmatNya, para Nabi, para syuhada’ dan orang-orang yang
beriman….’ Dan sekali lagi beliau terdengar baginda berkata ‘ya Tuhanku, demi
pertemuan agung di syurga…’ Inilah kata-kata terakhir baginda yang didengar
oleh Saidatina Aisyah r.a. Sedikit demi sedikit, kepala Rasulullah semakin
berat di pangkuan Aisyah, sehinggalah sahabat-sahabat yang lain mula menitiskan
air mata. Lalu Aisyah meletakkan kepala Rasulullah di atas bantal dan turut
serta menangisi permergian baginda.
Di lantai rumah
Aisyah, berhampiran tempat pembaringan Rasulullah ketika baginda sedang nazak,
sebuah kubur digali dan di situlah bersemadi jasad penutup segala Nabi, di kala
umatnya sedang dalam kegelisahan dan kesedihan yang mendalam.
Aisyah hidup
selama hampir lima puluh tahun setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Sepuluh
tahun hidup beliau sebagai isteri Rasululluah. Sebahagian besar waktu itu
diluangkan dengan mempelajari dua sumber penting petunjuk Allah, iaitu al-Quran
dan sunnah Rasulullah. Tiga orang daripada isteri-isteri Rasulullah yang
menghafaz al-Quran, dan salah seorang daripadanya adalah Aisyah r.a.(di samping
Ummu Salamah dan Hafsah). Seperti Hafsah, Aisyah juga mempunyai salinan
al-Quran yang ditulis setelah kewafatan Rasulullah.
Berkenaan dengan
hadith baginda Rasulullah, Aisyah merupakan salah seorang daripada empat orang
sahabat (termasuk Abu Hurairah, Abdullah ibn Umar dan Anas Ibn Malik) yang
meriwayatkan lebih dua ribu hadith. Kebanyakan hadith-hadith ini berkaitan
amalan-amalan peribadi Rasulullah yang hanya mampu diketahui oleh Aisyah r.a.
Satu aspek penting berkenaan hadith yang diriwayatkan Aisyah ialah
hadith-hadith tersebut disampaikan dalam bentuk tulisan oleh, antara lainnya,
anak saudara beliau, Urwah ibn az-Zubair yang merupakan salah seorang ulama’
terkenal di kalangan tabi’in.
Ramai di
kalangan sahabat Rasulullah dan pengikut-pengikut mereka yang menimba dari ilmu
pengetahuan Aisyah r.a. Abu Musa al’Ashari pernah berkata: ‘Sekiranya kami di
kalangan sahabat Rasulullah menghadapi kemusykilan, maka akan kami bawa kepada
Saidatina Aisyah r.a.’
Urwah ibn
az-Zubair menegaskan bahawa Aisyah bukan sahaja arif dalam bidang fiqh, bahkan
juga dalam bidang tibb(perubatan) dan syair. Ramai di kalangan sahabat baginda
Rasulullah turut merujuk kepada Aisyah berkenaan masalah pewarisan harta yang
memerlukan kemahiran tinggi dalam bidang matematik. Para ulama menganggap
Saidatina Aisyah sebagai salah seorang ahli fuqaha Islam terawal di samping
Umar Ibn al-Khattab, Ali dan Abdullah ibn Abbas. Kata baginda Rasulullah
tentang dalamnya pengetahuan Aisyah dalam Islam; ‘Pelajarilah sebahagian
daripada agamamu dari al-Humaira’,’Al-Humaira, atau ‘si merah’ adalah nama
panggilan Rasulullah kepada Saidatina Aisyah r.a.
Saidatina Aisyah
r.a. bukan sahaja memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, bahkan turut memainkan
peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan masyarakat ketika itu.
Sebagai seorang guru, beliau memiliki lisan yang jelas dan menarik hati serta
kelancaran bertutur kata beliau digambarkan dengan begitu tinggi oleh al-Ahnaf:
‘Aku pernah mendengar ucapan dari Abu Bakar dan Umar, dari Uthman dan Ali serta
para khulafa’ hingga ke hari ini, tetapi belum pernah aku mendengar ucapan yang
lebih indah dan lebih menarik hati dari mulut seorang pun melainkan Aisyah
r.a.’
Manusia dari
segenap pelusuk tanah Arab telah pergi menemui Aisyah untuk mempelajari ilmu
yang dimilikinya. Dikatakan lebih ramai bilangan wanita daripada lelaki yang
datang untuk menimba ilmu daripada beliau. Di samping menjelaskan kemusykilan
orang ramai, beliau turut mengambil anak-anak kecil, ada di kalangan mereka
yatim piatu, untuk dibesarkan dan dilatih di bawah bimbingannya sendiri. Di
samping itu juga terdapat saudara-saudara beliau yang mendapat bimbingan yang
sama. Dengan demikian, rumah Saidatina Aisyah r.a. dijadikan sekolah dan sebuah
institusi pengajian.
Ada di kalangan
anak-anak didikan Aisyah yang cemerlang di bawah pimpinan beliau. Sudah disebut
sebelum ini tentang anak saudara lelaki beliau iaitu Urwah ibn az-Zubair
sebagai salah seorang perawi hadith terkemuka. Di antara pelajar wanita didikan
Aisyah ialah Umrah binti Abdur Rahman. Umrah dianggap oleh para ulama’ sebagai
seorang perawi hadith yang thiqah dan dikatakan bertindak sebagai setiausaha
Aisyah r.a dalam menerima dan menjawab surat-surat yang diterima Aisyah.
Peranan Aisyah dalam menggerakkan proses pendidikan terutamanya bagi kaum
wanita seharusnya dijadikan contoh ikutan.
Selepas Khadijah
al-Kubra (yang hebat) dan Fatimah az-Zahra (yang menawan), Aisyah as-Siddiqah
(yang membenarkan) dianggap sebagai wanita terbaik dalam Islam. Dari keteguhan
peribadinya, beliau menjadi seorang pakar dalam setiap bidang pengetahuan,
dalam masyarakat, politik bahkan peperangan. Beliau sering menyesali
penglibatannya dalam peperangan namun dibarkahi dengan umur yang panjang
berpeluang membetulkan kedudukannya sebagai wanita paling dihormati sewaktu
hayatnya. Beliau kembali ke rahmatullah dalam bulan Ramadhan pada tahun kelima
puluh lapan selepas Hijrah. Atas arahan beliau sendiri, jasadnya disemadikan di
Jannat al-Baqi di Madinah al-Munawwarah, di kalangan sahabat baginda Rasulullah
s.a.w.
0 comments:
Catat Ulasan